Tinggal 2 kerusi DUN Selangor belum selesai diagih

Tinggal 2 kerusi DUN Selangor belum selesai diagih

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, perkara ini akan diserahkan kepada kepimpinan pusat untuk keputusan selanjutnya dalam masa terdekat.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, jentera pilihan raya boleh mula menjalankan gerak kerja PRN pada bila-bila masa. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Tinggal dua lagi kerusi DUN Selangor belum selesai pembahagiannya antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang PRN.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, ia belum dimuktamad dan akan diserah kepada kepimpinan pusat untuk keputusan selanjutnya dalam masa terdekat.

“Setakat ini, boleh dikatakan 95% pembahagian kerusi telah selesai dan (jentera) boleh mula bekerja pada bila-bila masa,” katanya.

“Sekarang ini, perbincangan (antara PH dan BN) juga sudah tamat dan baki membabitkan satu ke dua kerusi akan diserah kepada pimpinan peringkat pusat untuk dimuktamad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di sini hari ini.

Selain Selangor, yang membabitkan 56 DUN, PRN akan turut diadakan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Amirudin juga berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) khas yang diadakan sejak Jumaat lepas adalah bagi memastikan beberapa perkara, termasuk menyelesaikan keputusan dasar dan pentadbiran sebelum pembubaran DUN.

“Kita dah selesaikan majoriti isu yang tertunggak dan kini hanya tinggal 67 kertas kerja. Semasa kita ambil alih, saya ingat ada lebih 200 kes tertunggak yang tidak dimuktamad… (Ini) sebenarnya akan memberi kesan kepada dapatan hasil dan pergerakan terutama dalam hal pentadbiran serta ekonomi negeri.

Beliau berkata selepas PRU14 pada 2018, kerajaan Selangor hanya mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.8 bilion sedangkan sasaran asal ialah RM2.4 bilion.

“Tujuan kita mempercepat semua urusan (dalam MMKN khas) kerana dalam tempoh berkempen, pembubaran (DUN) sehinggalah kerajaan baharu dibentuk, kita akan ada hampir dua bulan kosong (tiada kerajaan). Ia akan memberi kesan kepada pendapatan negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.