PRN: Hanya 9 kerusi belum muktamad, kata Asyraf

PRN: Hanya 9 kerusi belum muktamad, kata Asyraf

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata semua kerusi itu akan diputuskan presiden parti terlibat.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Asyraf Wajdi Dusuki, berkata rundingan kerusi berbaki sembilan kawasan itu akan dimuktamad di peringkat presiden parti.
PETALING JAYA:
Rundingan agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang enam PRN hampir selesai dan hanya sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) belum dimuktamad.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi telahpun selesai di peringkat Jawatankuasa Perundingan BN-PH.

Beliau berkata, perkembangan terkini itu sekali gus menepis dakwaan segelintir pihak kononnya kerajaan perpaduan tidak stabil.

“Kini kita masuk di peringkat akhir iaitu untuk dimuktamad di peringkat presiden-presiden. Daripada 245 kerusi DUN yang akan dipertanding, kita hanya ada isu sembilan (kerusi DUN) yang masih bertindih.

“Maknanya, kalau kita tengok dari segi peratusan, 99.7% soal kerusi ini telah selesai dan boleh dikatakan (rundingan) berjalan dalam (suasana) cukup harmoni sekali,” katanya menurut Bernama ketika ditemui pemberita selepas tinjauan mesra di Karnival Institusi Pendidikan Mara Johor di Plaza Larkin.

Asyraf yang juga ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, berkata justeru baki sembilan kerusi DUN yang masih bertindih akan dimuktamad kepimpinan tertinggi parti terbabit.

“(Berhubung) kerusi-kerusi yang bertindih ini, kita serahkan kepada kepimpinan tertinggi iaitu presiden-presiden parti untuk diperinci dan secara umumnya, itulah (perkembangan) sekarang,” katanya.

Katanya, rundingan di peringkat presiden dijangka dimuktamad sebelum proses penamaan calon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.