PM gesa segerakan projek loji air, ganti paip di Kelantan

PM gesa segerakan projek loji air, ganti paip di Kelantan

Peruntukan sebanyak RM500 juta akan digunakan untuk projek itu, sebahagian daripada RM1.7 bilion yang diluluskan oleh kerajaan untuk Kelantan, kata Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim disambut oleh Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob di Kota Bharu hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa agar projek loji air Tok Bali dan penggantian paip air di Bachok disegerakan bagi membantu menyelesaikan masalah air di Kelantan.

Anwar berkata, peruntukan sebanyak RM500 juta akan digunakan untuk projek itu, sebahagian daripada RM1.7 bilion yang diluluskan oleh kerajaan untuk Kelantan.

“Saya setuju dengan peruntukan segera RM1.7 bilion untuk menyelesaikan masalah air Kelantan dan telah mengarahkan agensi berkaitan menyegerakan kedua-dua projek ini,” katanya di Tumpat hari ini, lapor News Straits Times.

Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob atas kesediaannya membincangkan isu itu dengan kerajaan perpaduan.

“Rundingan yang baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sangat diperlukan untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata, biarpun terdapat perbezaan politik, namun rundingan dan perbincangan sentiasa dilakukan bagi memberi peruntukan, terutama dalam soal keagamaan dan kebajikan.

Katanya, kerajaan tidak menafikan hak rakyat di Kelantan walaupun ia negeri pembangkang, malah negeri itu antara negeri menerima peruntukan paling besar dalam Belanjawan 2023.

“Isu bekalan air dan banjir turut diutamakan kerana ia melibatkan rakyat, malah peruntukan RM103,863,258 turut disalurkan kepada golongan imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di negeri ini.

“Dalam Belanjawan Madani, semua projek diteruskan, antaranya tadahan air, naik taraf jalan Pak Badol ke Melor, pembinaan Jambatan Palekbang, termasuk beberapa projek baharu Sungai Golok.”

Anwar berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Perdana Menteri bagi Projek Menyiapkan Masjid At-Taqwa Alor Pasir, Tumpat, di mana beliau menyampaikan peruntukan RM7.76 juta untuk projek itu, lapor Bernama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.