PH-BN ‘in denial’ jika tak gusar lihat kehadiran di program PN, kata penganalisis

PH-BN ‘in denial’ jika tak gusar lihat kehadiran di program PN, kata penganalisis

Menepis optimisme pemimpin PN sebagai retorik 'hanya pandangan untuk sedapkan hati', kata Kartini Aboo Talib.

Penganalisis berkata kehadiran orang ramai di program PN boleh dijadikan sandaran dalam membuat pemerhatian.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis percaya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional tidak mahu menerima kenyataan jika ia tidak gusar melihat kehadiran orang ramai di program Perikatan Nasional.

Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, sudah tentu “kehadiran luar biasa” boleh dijadikan sandaran apabila menilai keadaan politik.

Beliau berkata, menganggap optimisme pemimpin PN sebagai retorik “hanyalah pandangan untuk sedapkan hati mereka yang berada dalam keadaan ‘in denial’.”

“Orang ramai hadir dan tak hadir boleh saja dijadikan sandaran dan andaian terhadap pemerhatian,” katanya kepada FMT.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dalam kenyataan pada Ahad percaya kehadiran orang ramai di beberapa program PN di beberapa negeri sebelum ini akan menjadi “gelombang” yang menyokong gabungan itu pada PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Dalam kenyataan selepas ceramah oleh pemimpin-pemimpin PN di Senawang, Negeri Sembilan, Muhyiddin menyeru pengundi menghantar isyarat kepada kerajaan bahawa mereka marah sebab kos sara hidup, kenaikan harga barang keperluan, nilai ringgit, dan hala tuju ekonomi.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, buat masa ini orang ramai belum boleh dikatakan menyokong PN berdasarkan kehadiran di program-program gabungan itu, memandangkan seteru mereka belum mula berkempen.

Beliau berkata, optimisme pemimpin PN belum dapat disahkan kerana perbandingan bermakna belum boleh dibuat.

“PH dan BN belum memulakan kempen mereka. Sukar nak bandingkan sambutan kepada kedua-dua seteru ini,” katanya kepada FMT.

Khusus bagi Negeri Sembilan, Azmi berkata data PRU15 tidak menunjukkan PN diterima di negeri itu.

Pada pilihan raya lalu, PN tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di Darul Khusus. Hanya di Seremban calon PN meraih undi kedua terbanyak (33,076 undi), namun PN di depan dengan 63,920 undi.

Sementara itu, Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata kehadiran pengikut dan penyokong di ceramah PN belum menjamin kemenangan di peti undi.

“Sudah tentu ada pengikut dan penyokong. Itu tidak boleh dijadikan kayu ukur dan jaminan dia akan menang di Negeri Sembilan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.