
Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Noor, berkata dalam beberapa kes, orang tidak bersalah dihukum dan teraniaya hanya kerana mereka tidak mampu membayar peguam.
“Dalam keadaan ini, bantuan guaman diperlukan untuk membantu mereka membela diri,” kata Wan Salim kepada FMT. Beliau berkata menyediakan bantuan seperti itu adalah tindakan mulia.
Minggu lalu, kerajaan negeri mengumumkan akan meningkatkan peruntukan tahunan Dana Bantuan Guaman Selangor kepada RM2 juta dan memperluaskan kepada Mahkamah Syariah.
Sebelum ini, dana itu hanya meliputi kes kekeluargaan di mahkamah sivil. Mereka yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan layak mendapatkan bantuan.
Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Moeis Basri, menyambut baik perluasan bantuan itu yang membolehkan lebih ramai mendapat manfaat daripadanya.
Beliau berkata, purata satu kes perceraian boleh menelan kos yuran guaman sekitar RM4,000 hingga RM5,000. Bantuan disediakan kerajaan negeri akan menampung kos peguam yang mewakili golongan berpendapatan rendah.
Pegawai Komunikasi Sisters in Islam, Aleza Othman, berkata ramai wanita menghadapi kesulitan dalam menuntut nafkah, dan juga apabila suami berpoligami tanpa berbincang dengan mereka.
Beliau berkata, kerajaan negeri mesti memastikan konsultasi perundangan yang ditawarkan kepada wanita adalah “sensitif jantina”, bermakna mereka dilayan dengan bermaruah dan hormat.