Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama buka 25 Jun

Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama buka 25 Jun

Kerja-kerja pembinaan lebuh raya itu dijangka siap hujung tahun ini, namun disegerakan kepada sebelum Aidiladha, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Abdul Rahman Mohamad.

Lebuh raya CSR sepanjang 17km dijangka akan menjimatkan perjalanan pengguna selama 40 minit kerana tidak perlu lagi melalui bandar Raub. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) akan dibuka pada 25 Jun ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Abdul Rahman Mohamad.

Laluan tersebut melibatkan keseluruhan jajaran jalan di dalam CSR Pakej 5B dan sebahagian jajaran jalan di dalam CSR Pakej 5A, melalui susur keluar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, katanya.

“Kerja-kerja pembinaan berkenaan dijangka siap pada hujung tahun ini, tetapi saya mengarahkan Jabatan Kerja Raya, menyegerakan arahan kepada kontraktor menyiapkannya sebelum Aidiladha.

“Ini kerana kita mengambil kira lebih 500,000 kenderaan akan melalui laluan itu, terutama perantau dari Kelantan pada hari raya ini,” katanya di Kota Bharu hari ini, lapor Bernama.

Abdul Rahman berkata, lebuh raya sepanjang 17km itu dijangka akan menjimatkan perjalanan pengguna selama 40 minit kerana tidak perlu lagi melalui bandar Raub.

“Walaupun lebuh raya tersebut belum siap sepenuhnya, kita harap pembukaan susur keluar ini akan memberi keselesaan kepada pengguna, terutama dari Pantai Timur,” katanya.

Tambahnya, satu lagi seksyen berhampiran lebuh raya itu akan dibuka pada September melalui susur keluar persimpangan kawasan perindustrian Raub.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.