Jutaan ‘pengundi kingmaker’ tunggu ‘dipancing’

Jutaan ‘pengundi kingmaker’ tunggu ‘dipancing’

Saintis politik Wong Chin Huat berkata gabungan yang mendapat sokongan sejumlah besar pengundi tidak bermotivasi mampu mengubah keputusan pilihan raya.

Ramai yang dianggap ‘tidak bermotivasi’ merupakan pengundi baharu melalui sistem pendaftaran automatik.
PETALING JAYA:
Mendapatkan sokongan sejumlah besar “pengundi tidak bermotivasi” mungkin menjadi penentu bagi gabungan parti bertanding pada PRN akan datang, kata saintis politik Wong Chin Huat.

Wong dari Universiti Sunway berkata, blok “pengundi tidak bermotivasi” dianggarkan mencecah 5.5 juta orang, berdasarkan undi PRU15 pada November 2022.

Saiz blok itu melebihi jumlah undi diperoleh Perikatan Nasional (4.7 juta) dan menyusul 5.9 juta undi diraih Pakatan Harapan.

Berdasarkan keputusan akhir PRU15, dianggarkan 60% daripada 5.5 juta pengundi tidak hadir datang dari enam negeri yang akan mengadakan PRN, iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Wong Chin Huat.

Katanya, “pengundi tidak bermotivasi” mungkin termasuk mereka yang berada dalam daftar pemilih susulan pelaksanaan sistem pendaftaran automatik tahun lalu.

“Berdasarkan statistik sebelum 2021, kira-kira 18% pengundi layak tidak mendaftarkan diri sebagai pemilih. Kita mungkin boleh anggap mereka tidak berminat dengan politik,” katanya kepada FMT.

“Kebanyakan mereka tidak akan keluar mengundi selepas layak berbuat demikian. Ini sebahagiannya menjelaskan kenapa hanya 55% pengundi berdaftar keluar mengundi ketika PRN Johor pada Mac 2022 berbanding 84% pada 2018,” katanya.

Peratusan keluar undi dijangka lebih rendah

PRN pada Mac 2022 hanya untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PRU pada Mei 2018 untuk kerusi DUN dan Parlimen.

Wong berkata, PRN yang diadakan secara berasingan cenderung mempunyai peratusan keluar mengundi 10 hingga 20% lebih rendah berbanding PRU, dengan pengundi berdepan kelesuan politik.

“Menggabungkan tiga fakta ini, purata keluar mengundi pada PRN akan datang mungkin 55% hingga 60% berbanding purata seluruh negara sebanyak 74% pada PRU15.”

Jumlah pengundi di enam negeri meningkat daripada 6.9 juta pada 2013 kepada 9.6 juta pada 2018 dan 9.78 juta ketika ini.

Wong berkata, peratusan keluar mengundi dijangka lebih rendah, dengan pengundi “tidak bermotivasi”, yang termasuk sejumlah besar pengundi baharu, diramal menjadi “kingmaker”, jika gabungan bersaing cuba mendapatkan sokongan mereka.

Hak Melayu dan penentang Umno

Wong berkata, pejuang Proklamasi Orang Melayu seperti bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Presiden PAS Abdul Hadi Awang atau Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin tidak boleh memenangi hati kumpulan pengundi itu dengan taktik mengumpan kaum mereka.

“Bagi anak muda Melayu yang belum menjadi penyokong PAS sebelum ini, undi mereka mungkin lebih mudah dialihkan penentang Umno yang dibuang, digantung atau diketepikan Presiden Umno, Zahid Hamidi,” katanya merujuk pemimpin berpengaruh seperti Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan, Hishammuddin Hussein, Noh Omar dan Annuar Musa.

“Terdapat risiko sebenar Umno boleh dihukum dengan teruk oleh mereka yang anti-Zahid dalam kalangan penyokong Umno dan pengundi Melayu.

“Perkara terbaik untuk Umno lakukan ialah menunjukkan prestasi baik dalam kerajaan, berkhidmat kepada pengundi dan memperjuangkan masalah mereka sebaik mungkin, berbanding bergaduh dengan bekas rakan seperjuangan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.