SPRM terima maklumat ‘naungan politik’ judi dalam talian

SPRM terima maklumat ‘naungan politik’ judi dalam talian

Kelmarin, menteri dalam negeri mendedahkan di Dewan Rakyat ada kegiatan perjudian dalam talian dinaungi pemimpin politik.

Azam Baki berkata SPRM bekerjasama dengan polis untuk menyiasat dakwaan aktiviti judi dalam talian dinaungi pemimpin politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima maklumat dakwaan aktiviti judi dalam talian dinaungi pemimpin politik dan sedang bekerjasama dengan polis menyiasatnya, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

“Berhubung dakwaan berkaitan dana judi, kita ketika ini akan bekerjasama dengan polis untuk menyiasat tohmahan itu.

“Malah, saya sahkan memang kita menerima laporan dan maklumat-maklumat tertentu,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian mesyuarat agung tri tahunan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Kuala Lumpur.

Semalam, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, pihaknya berkongsi maklumat dengan SPRM bagi menentusahkan dan menyiasat lanjut dakwaan pemimpin politik terbabit dalam aktiviti judi dalam talian.

Beliau mengulangi komitmen tidak akan membiarkan kegiatan menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara dengan mengambil semua langkah berteraskan undang-undang.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang Dewan Rakyat mendedahkan ada kegiatan perjudian dalam talian dinaungi pemimpin politik.

Beliau mendakwa pihak yang menyediakan platform perjudian dalam talian itu boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.