Motosikal rempuh lori, 2 penunggang wanita maut

Motosikal rempuh lori, 2 penunggang wanita maut

Polis berkata dua motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan susulan permukaan jalan licin akibat hujan.

Dua penunggang wanita maut dalam nahas melibatkan sebuah lori di Jalan Gunung Pulai, dekat Pulai. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Dua penunggang wanita maut selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum merempuh sebuah lori di Jalan Gunung Pulai dekat Kulai.

Pemangku Ketua Polis Kulai Yusof Othman, berkata kemalangan dipercayai berpunca daripada keadaan permukaan jalan licin berikutan hujan itu berlaku pada 12 tengah hari.

Beliau berkata, mangsa berusia 36 tahun yang menunggang Yamaha Y15ZR maut di lokasi kejadian, manakala mangsa berusia 38 tahun dan menunggang Yamaha Y16ZR meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Kedua-dua motosikal dibawa mangsa hilang kawalan semasa di selekoh jalan tersebut, sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh lori jenis Volvo tersebut.

“Mangsa berusia 36 tahun meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah, manakala mangsa 38 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai,” katanya pada kenyataan.

Yusof bagaimanapun berkata, pemandu lori terbabit yang merupakan lelaki berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu video yang memaparkan kemalangan membabitkan dua wanita yang masing-masing menunggang motosikal itu turut tular di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.