Mayat wanita tanpa kepala, tangan dipercayai dibaham buaya

Mayat wanita tanpa kepala, tangan dipercayai dibaham buaya

Polis berkata keadaan anggota badan tidak sempurna menyukarkan proses mengenal pasti identiti mangsa.

Polis percaya kehilangan anggota badan mangsa akibat dibaham buaya.
PETALING JAYA:
Mayat wanita tanpa kepala dan kedua-dua tangan ditemui di Sungai Kampung Sapat, Papar, Sabah, Khamis lalu dipercayai akibat dibaham buaya.

Ketua Polis Papar, Kamaruddin Ambo Sakka, berkata keadaan anggota badan tidak sempurna turut menyukarkan proses mengenal pasti identiti mangsa.

“Setakat ini, kita belum dapat kenal pasti sepenuhnya identiti mangsa kerana keadaan yang tidak sempurna.

“Kepala tiada, kedua belah tangan tiada serta kaki kirinya juga tiada, jadi memang tidak dapat cam identiti mangsa.

“Dipercayai kehilangan anggota badan mangsa disebabkan dibaham buaya,” katanya menurut Sinar Harian.

Khamis lalu, akhbar itu melaporkan mayat dianggarkan berusia 30 hingga 40 tahun ditemui terapung dan tersangkut pada ranting pokok kayu di tepi sungai terbabit.

Mayat itu ditemui dalam keadaan tidak berbaju dan hanya tinggal kaki kanan, iaitu bahagian paha ke paras lutut dengan selebihnya hilang.

Polis sebelum ini meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan tampil ke IPD Papar untuk pengecaman mayat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.