Lori langgar penghadang jalan, pemandu dan kelindan maut

Lori langgar penghadang jalan, pemandu dan kelindan maut

Polis berkata pemandu hilang kawalan dipercayai akibat masalah brek dan terbabas melanggar penghadang jalan di dinding bukit.

Keadaan lori selepas melanggar penghadang jalan di Bukit Tangga, Jelebu semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua maut selepas lori dinaiki melanggar penghadang jalan di Bukit Tangga, Jelebu, Negeri Sembilan semalam.

Ketua Polis Jelebu, Maslan Udin, berkata dalam kejadian kira-kira 5.15 petang itu, lori muatan kosong terbabit dipandu seorang lelaki tempatan bersama dua kelindan warga Bangladesh dari arah Seremban menuju Kuala Klawang, Jelebu.

Sebaik tiba di jalan menurun di Bukit Tangga, katanya, pemandu itu hilang kawalan dipercayai akibat masalah brek dan terbabas melanggar penghadang jalan di dinding bukit.

“Akibat kemalangan tersebut, pemandu berusia 50-an dan seorang kelindan warganegara Bangladesh berusia 30-an parah dan kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang lagi mangsa terselamat dibawa ke Hospital Jelebu untuk rawatan.

“Bedah siasat akan dijalankan hari ini di Hospital Jelebu. Siasatan dijalankan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Pihak mempunyai maklumat kejadian diminta ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau menghubungi pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jelebu, Baharuddin Jamil di 010 7706864.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.