Latih lepasan SPM jadi petani moden, saran ahli ekonomi

Latih lepasan SPM jadi petani moden, saran ahli ekonomi

Barjoyai Badai dan Niaz Asadullah berkata pembabitan belia dalam pertanian akan mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan dan mengekalkan bakal di luar bandar.

Barjoyai Bardai (kiri) berkata lepasan SPM patut mempertimbangkan kerjaya dalam pertanian moden, manakala Niaz Asadullah berharap kerajaan menyediakan data yang akan menarik mereka menyertai sektor itu.
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi berkata, Putrajaya patut menggalakkan lepasan SPM menceburi bidang pertanian moden yang membawa pulangan lumayan.

Bulan lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan, mendedahkan hanya 40% daripada 500,000 lepasan SPM melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi, dengan majoriti lebih gemar bekerja dalam bidang sektor pembuatan, penghantaran dan e-panggilan.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, lepasan SPM perlu mempertimbangkan pertanian yang akan membantu meningkatkan keselamatan makanan negara dan menyediakan pendapatan mampan kepada mereka.

Beliau menganggarkan pelaburan awal RM10,000 ke atas ladang kecil hidroponik bersepadu boleh menghasilkan tuaian dalam 60 hari dan menyediakan pendapatan bulanan RM5,000 hingga RM8,000 selepas setahun.

“Yang penting ialah organisasi baik dan betul untuk memastikan terdapat pasaran sedia untuk menuai,” katanya sambil menambah belia harus menggunakan dana kerajaan bagi memulakan perjalanan keusahawanan mereka.

Beliau memberi contoh kerajaan Perak menyokong pertanian di bandar dan bersepadu melalui skim untuk usahawan pertanian.

Katanya, pandemik Covid-19 mengurangkan keupayaan Putrajaya membiayai import secara ketara, dengan rizab Bank Negara Malaysia dilaporkan sebanyak USD114.9 bilion setakat Januari 2023 hanya cukup membiayai 5.3 bulan import.

Beliau berkata, kerajaan patut mengambil profesional dan usahawan bersara untuk membimbing belia serta menyediakan sokongan kewangan bagi perniagaan bermodal rendah sebagai permulaan perjalanan keusahawanan mereka.

Barjoyai berkata, dirinya tergolong dalam kumpulan profesional bersara yang menjalankan pertanian hidroponik sebagai hobi dan berdasarkan pengalamannya, pertanian moden merupakan sumber pendapatan berdaya maju untuk belia.

“Kami menanam kangkung, cili, tomato, salad serta kobis, dan hasilnya sangat bagus. Kami juga membela ikan keli di bahagian bawah dan semua ini dilakukan dalam kawasan rumah kami.

“Selepas tiga bulan, berat ikan akan melebihi 1kg seekor dan saya mempunyai lebih 1,000 ekor di kedua-dua kolam itu sekarang. Ikan itu berharga RM15 hingga RM30 sekilogram dan tentunya saya terpaksa membeli makanan ikan, iaitu kira-kira RM80 bagi setiap pek seberat 20kg yang akan bertahan kira-kira sebulan.”

Niaz Asadullah dari Universiti Monash Malaysia senada Putrajaya patut menggalakkan lepasan SPM menyertai pertanian kerana demografi petani semakin berusia dan permintaan semakin tinggi untuk “pertanian pintar dan jitu”.

“Kebanyakan negeri hilang bakat tempatan dan seorang pegawai yang saya temu bual mengaitkannya dengan kekurangan sektor moden bagi mengekalkan bakat muda. Pertanian pintar boleh membantu membendung arus ini,”

Tetapi, beliau mengakui belia tiada akses terhadap maklumat konkrit berhubung keuntungan perniagaan pertanian menyebabkan mereka lebih gemar menyertai ekonomi gig yang mempunyai gambaran pendapatan lebih jelas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.