Kurangkan bercakap, biar kerja buktikan, Hamzah beritahu PM

Kurangkan bercakap, biar kerja buktikan, Hamzah beritahu PM

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata tiada perdana menteri yang menjadi jurucakap selepas setiap mesyuarat Kabinet.

Hamzah Zainudin berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya Perikatan Nasional Marang malam tadi.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin meminta Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kurangkan bercakap dan biar kerja membuktikannya.

Ketua pembangkang berkata, sebagai perdana menteri, Anwar sepatutnya menunaikan tanggungjawab memimpin negara dengan membantu menyelesaikan masalah rakyat, khasnya kenaikan kos sara hidup.

“Kita perlu menjaga negara ini dengan begitu baik sekali, bukan hanya bercakap hari-hari. Tidak pernah ada perdana menteri jadi jurucakap kepada Kabinet hari-hari.

“Tiap kali ada mesyuarat Kabinet, dia yang menjadi jurucakap kepada kerajaan,” katanya ketika pelancaran jentera pilihan raya PN Marang di Terengganu malam tadi.

Ahli Parlimen Larut itu turut menasihatkan perdana menteri tidak patut membuat kenyataan “flip-flop” kerana boleh menjejaskan pelaburan asing dalam negara.

“Esok kata polisi nak bantu, esok kata insentif nak diberi, lusa dia kata aku tak cakap macam tu. Akhirnya, larilah pelabur yang ada dalam Malaysia ni.”

Hamzah turut meminta kerajaan tidak menyalahkan pembangkang jika pelabur lari dari Malaysia kerana mereka hanya meminta penyelesaian daripada kerajaan untuk membantu ekonomi dan isu menjejaskan rakyat.

Selasa lalu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat, beliau tiada masalah dengan isu “flip-flop” atau sering menukar keputusan berhubung dasar kerajaan jika ia membantu rakyat.

Ini menyusul keputusan kerajaan mengekalkan pemberian subsidi ayam dan telur serta biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pelajar perubatan, pergigian dan farmasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.