
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, RM6.4 juta diperuntukkan bagi membaik pulih dan menaik taraf kemudahan, termasuk sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).
“Bagi Kedah sahaja, kerajaan perpaduan telah luluskan sejumlah RM604,180 kepada 36 institusi pendidikan Islam ini untuk tujuan kursus dan latihan guru serta bantuan pendidikan seperti meja, kerusi, almari, projektor, papan putih, kabinet buku, dan sebagainya.
“Kerajaan perpaduan turut akan menyumbang sejumlah RM1.985 juta kepada 28 pondok, tahfiz, maahad dan sekolah agama yang berdaftar di Kedah dalam usaha kita menyuburkan lagi pendidikan berteraskan Islam di negeri ini,” katanya semasa berucap pada majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah Melele, Kodiang.
Beliau berkata, selain itu, kerajaan turut bersetuju meluluskan sumbangan lain, iaitu RM2.94 juta kepada 588 masjid kariah di 12 daerah di seluruh negeri Kedah yang berdaftar bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).
Sumbangan itu, katanya, adalah bagi pengimarahan masjid sempena sambutan Aidiladha yang akan datang, dengan setiap masjid akan menerima sumbangan RM5,000.
Dalam pada itu, perdana menteri turut mengumumkan peruntukan RM1.2 juta lagi kepada pihak SMA Nahdhah Hasanah Melele bagi tujuan membaik pulih sekolah itu.
Anwar berkata, bawah Kementerian Pendidikan, sejumlah RM821 juta telah diperuntukkan untuk pengoperasian dan pembangunan pendidikan Islam, khususnya bagi 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) yang berdaftar bawah kementerian di seluruh negara.
Katanya, dalam keadaan kerajaan menghadapi kekangan kewangan, hutang yang banyak dan perbelanjaan defisit, kerajaan tidak akan membelakangkan soal pendidikan, kesihatan, dan pengimarahan masjid serta program Islam.
Turut hadir pada majlis itu termasuk Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dan Pengetua SMA Nahdhah Hasanah Melele Mohd Jamil Sadaqi Tajuddin.