Saman Azmin: Syarikat import telur mohon penghakiman ingkar

Saman Azmin: Syarikat import telur mohon penghakiman ingkar

Peguam mewakili J&E Advance Tech berkata Azmin Ali lewat memasukkkan memorandum kehadiran dalam kes saman terhadap beliau.

Azmin Ali disaman J&E Advance Tech berhubung dakwaan fitnah yang dikatakan dibuat beliau.
KUALA LUMPUR:
Sebuah syarikat pengimport telur yang menyaman Azmin Ali atas dakwaan fitnah memohon penghakiman ingkar, kerana bekas menteri itu dikatakan lewat memasukkan memorandum kehadiran.

Elyse Tan selaku peguam yang mewakili J&E Advance Tech Sdn Bhd berkata permohonan itu difailkan pada Isnin.

Tan berkata semua kertas kausa berkaitan saman itu telah diserahkan kepada Azmin bulan lepas.

Azmin dilaporkan melantik firma guaman Sasha Lyna & Partners untuk mewakili dirinya sehari selepas menerima kertas kausa itu.

“Kami diarah untuk terus memohon penghakiman ingkar terhadap defendan memandangkan memorandum kehadiran dimasukkan di luar tempoh,” kata Tan.

Beliau berkata peguam Azmin akan membantah permohonan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Leong Wai Hong menetapkan guaman bagi pengurusan kes pada 14 Julai.

J&E Advance Tech memfailkan saman terhadap Azmin pada 14 April kerana mendakwa ia dianugerahkan kontrak mengimport telur dari India menerusi rundingan terus.

Syarikat itu mendakwa kenyataan Azmin, yang didakwa dibuat di ceramah Perikatan Nasional pada Mac, adalah fitnah dan membayangkan syarikat itu tidak jujur dalam urusannya.

Syarikat itu juga mendakwa kenyataan dibuat atas niat jahat dan untuk menghasut orang ramai.

J&E Advance Tech memohon ganti rugi am, teruk, dan teladan daripada Azmin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.