Pecah amanah wang zakat, bekas guru besar dipenjara 5 tahun, denda RM100,000

Pecah amanah wang zakat, bekas guru besar dipenjara 5 tahun, denda RM100,000

Mohamed Nor Azmi Darno, 56, didakwa menyalahgunakan wang sumbangan zakat berjumlah RM75,000 untuk kegunaan diri sendiri.

Mohamed Nor Azmi Darno bersalah menyalahgunakan wang sumbangan zakat untuk murid asnaf pada 2019. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas guru besar dipenjara lima tahun dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah menggunakan wang zakat RM75,000 untuk kegunaan diri sendiri, empat tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamed Nor Azmi Darno, 56, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tiga pertuduhan kes pecah amanah jenayah itu.

Menurut Harian Metro, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai guru besar sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh didakwa melakukan pecah amanah secara menyalahgunakan wang sumbangan zakat Malaysia Building Society Berhad untuk murid asnaf sempena Aidilfitri 2019.

Tertuduh didakwa menyalahgunakan wang sumbangan terbabit, masing-masing berjumlah RM5,000, RM40,000, dan RM30,000 untuk kegunaan dirinya sendiri dan tidak mengagihkan kepada murid asnaf sekolah berkenaan.

Kesalahan itu dibuat di cawangan sebuah bank dekat Saujana Utama, Sungai Buloh, pada 17 dan 19 Jun 2019.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin dan pegawai pendakwa, Mohd Aliff Shahruzaman, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Asikin Mohamed Yusof.

Nur Asikin memohon menangguhkn pelaksanaan hukuman namun ditolak Rozilah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.