
Menteri dalam negeri itu berkata, justeru beliau mahu polis diberi ruang menyusun strategi melibatkan siasatan kegiatan terbabit.
“Jawapan saya di Parlimen bukan bermaksud perkara itu tidak berlaku, jawapan saya afirmatif.. ada (berlaku).
“Apa maksud naungan politik, maksudnya wujud elemen perlindungan, pengaruh dan itu beri kesan kepada polis sebagai badan penguat kuasa terbesar dalam negara, akan ada elemen rasuah dan suapan.
“Jadi, adakah polis ada maklumat? Jawapannya ada, dalam radar. Sebab itu mengumpul data yang tepat membolehkan kita membuat tindakan bersasar dan itu bukan satu maklumat yang kita boleh hebah secara umum, ia akan menjejaskan kerja dilakukan polis yang ada unit risikan,” katanya menurut Berita Harian.
Katanya, beliau tidak akan menyebut secara afirmatif tanpa ada “penerangan menyakinkan” daripada polis.
“Jadi, bagi ruang kepada polis menyusun apakah strategi mereka,” katanya.
Semalam, ketika menjawab soalan R Ramanan (PH-Sungai Buloh) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Saifuddin mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian haram dinaungi pemimpin politik.
Beliau berkata, elemen berkenaan menjadi kekangan terbesar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis serta kerajaan secara keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan itu.
Katanya, pihak yang menyediakan platform perjudian dalam talian itu boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu.
Saifuddin berkata, KDN bersama polis kini sedang menyemak jika wujud kelulusan baharu lesen perjudian yang membabitkan orang politik tertentu.
Beliau turut mengakui kekangan terbesar dihadapi kerajaan, KDN dan polis dalam memerangi perjudian haram dalam talian itu adalah isu naungan politik.