
Majistret Qasiratuljannah Usmani Othman turut menjatuhkan hukuman denda RM1,000 ke atas Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, bagi setiap tuduhan selepas dia mengaku bersalah atas dua tuduhan yang dibacakan secara berasingan. Jika gagal membayar denda, Zaim akan dipenjara sembilan hari lagi.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan hari bagi setiap tuduhan, yang berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan, iaitu semalam.
Penyelia mesin itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas V Dennis Pillai, 23, di sebuah restoran di Tanah Rata pada kira-kira 4.20 petang, 4 Jun.
Zaim turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas warga asing, Samir Das di masa dan tempat yang sama.
Kedua-dua tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya S Punitha memohon Zaim dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran, selain kes menjadi tular.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya hanya dikenakan hukuman denda minimum, kerana isterinya akan bersalin pada hujung bulan ini selain mempunyai seorang anak kecil.
Beliau turut mengakui insaf dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama.
Zaim didakwa memaki hamun kedua-dua mangsa kerana makanan yang dipesan lambat sampai, dan menampar Samir Das sebanyak dua kali di pipi kiri dan menampar kedua-dua pipi Dennis Pilai sebanyak empat kali.
Terdahulu pada 9 Jun, Mahkamah Majistret Tapah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari ke atas lelaki itu kerana mengasari seorang pemandu wanita dalam insiden di Lata Iskandar yang tular baru-baru ini.