Minimum ijazah jadi ahli lembaga pengarah badan berkanun

Minimum ijazah jadi ahli lembaga pengarah badan berkanun

Kementerian Kewangan berkata semua ahli lembaga pengarah, termasuk ahli politik, diperiksa untuk memastikan mereka menjalankan tugas dengan baik.

Kementerian Kewangan berkata lantikan juga berdasarkan pengalaman berkhidmat berkaitan seperti perakaunan, kewangan atau perundangan dan kepakaran bersesuaian. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan menetapkan seseorang hendak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam badan berkanun persekutuan (BBP), mestilah memiliki sekurang-kurangnya sarjana muda atau kelayakan akademik dan profesional lain yang setara.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, pelantikan itu juga harus tidak bercanggah dengan sebarang peraturan sedang berkuat kuasa, sekali gus dibuat berdasarkan ketetapan keanggotaan lembaga pengarah dalam akta tubuh masing-masing.

“Pelantikan juga dibuat berdasarkan pengalaman berkhidmat dalam industri atau bidang berkaitan seperti perakaunan, kewangan atau perundangan dan kepakaran bersesuaian.

“Contohnya dalam bidang perdagangan, kewangan, perakaunan, undang-undang, pemasaran, pengurusan atau kemahiran khusus lain yang relevan dalam industri berkaitan, yang boleh dimanfaatkan oleh BBP, syarikat dan industri,” menurut MOF menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Penjelasan itu bagi menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai kriteria yang digunakan untuk memilih ahli politik sebagai pengerusi, ahli lembaga atau jawatan eksekutif ke syarikat atau agensi berkaitan kerajaan, syarikat atau agensi milik kerajaan dan BPP.

Bagi syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) pula, MOF menjelaskan pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah adalah di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan, melalui MKD selaku pemegang saham.

Kementerian itu juga memaklumkan setiap lantikan lembaga pengarah termasuk lantikan ahli politik, proses saringan yang sewajarnya akan dilaksanakan bagi memastikan individu tersebut berupaya memenuhi peranan dan tanggungjawabnya sebagai pengarah dengan berkesan.

Objektif itu sebagaimana yang digariskan dalam prinsip tadbir urus baik bagi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Pelantikan ahli lembaga pengarah bukan sekadar mengisi jawatan lembaga pengarah, sebaliknya disuaipadankan berdasarkan keperluan setiap badan berkanun dan syarikat, dengan mengambil kira latar belakang serta kebolehan seseorang individu daripada pelbagai sudut.

“Justeru itu, hanya individu yang berkelayakan atau memenuhi kriteria sahaja yang dilantik untuk menerajui lembaga pengarah BBP dan syarikat-syarikat MKD,” menurut kementerian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.