Laporan media berkait prosiding PAC tak langgar peraturan mesyuarat, kata Mas Ermieyati

Laporan media berkait prosiding PAC tak langgar peraturan mesyuarat, kata Mas Ermieyati

Bagaimanapun, pengerusi PAC itu berkata laporan media yang memetik sumber itu masih dianggap 'mengganggu' siasatan.

Mas Ermieyati Samsudin berkata ahli PAC atau Ahli Parlimen tertakluk dengan peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat yang melarang sebarang maklumat berkait keterangan prosiding PAC didedahkan atau disiarkan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Media tidak terikat dengan peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat yang memperuntukkan sebarang keterangan berkaitan prosiding yang sedang berjalan tidak boleh disiarkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Mas Ermieyati Samsudin.

Mas Ermieyati berkata, peraturan tersebut hanya terpakai kepada ahli PAC atau ahli Dewan Rakyat sahaja.

Bagaimanapun, Mas Ermieyati berkata, laporan media yang mendedahkan intipati keterangan dalam prosiding PAC masih dianggap ‘mengganggu’ siasatan, sebelum rumusan akhir dan syor-syor dapat dilengkapkan dan dibentang di Parlimen.

“Saya faham tugas media dalam mendapatkan sumber berita, tetapi saya berharap, media menghormati kami dan PAC akan bentangkan laporannya. Jadi, sama-samalah kita menghormati satu sama lain,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Parlimen.

Mas Ermieyati berkata demikian ketika ditanya sama ada media tertakluk dengan peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat berhubung laporan berita yang memetik sumber.

Sementara itu, PAC mengambil serius jika terdapat ahlinya termasuk Ahli Parlimen menyiarkan sebarang keterangan dokumen yang dikemukakan kepada PAC sebelum laporannya dibentang kepada Dewan Rakyat.

Katanya perbuatan itu melanggar Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Seksyen 9 (m) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) Akta 347, sekali gus mengganggu siasatan, rumusan serta syor PAC.

“Ini jelas melanggar peraturan mesyuarat. Oleh itu, saya menyeru semua pihak mendapatkan perkembangan prosiding dari PAC sendiri dan hormati siasatan dengan tidak mendapatkan berita daripada sumber tidak sahih,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.