Dr M ada masalah reputasi dan kredibiliti, Anwar jawab saman RM150 juta

Dr M ada masalah reputasi dan kredibiliti, Anwar jawab saman RM150 juta

Anwar Ibrahim berkata serangan niat jahat dan tidak berasas Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan merupakan cubaan menebus dirinya secara politik dengan apa jua cara.

Dr Mahathir Mohamad (kiri) mengemukakan saman terhadap Anwar Ibrahim susulan ucapannya pada Kongres Khas Nasional PKR pada 18 Mac.
SHAH ALAM:
Dr Mahathir Mohamad yang memfailkan saman RM150 juta terhadap Anwar Ibrahim berhubung kenyataan presiden PKR itu menuduhnya rasis dan mengayakan keluarganya ketika berkuasa, berdepan masalah reputasi dan kredibiliti.

Anwar menyatakan kredibiliti Mahathir sebelum ini, dan sentiasa dinilai berdasarkan perbuatannya sendiri.

“Niat jahat dan serangan tidak berasas terhadap kerajaan hari ini diketuai defendan (Anwar) merupakan cubaan menebus dirinya secara politik dengan apa jua cara,” kata pengerusi Pakatan Harapan itu dalam pernyataan balas.

Ia termasuk “mencetuskan pergolakan kaum dan menjejaskan politik, ekonomi, dan kestabilan sosial, menyebabkan beliau tidak lagi dianggap sebagai seorang yang boleh dipercayai.”

Dalam pernyataan balas, difailkan tetuan Thomas Philip, semalam, yang dilihat FMT, Anwar mendakwa, Mahathir, 97, telah memusnahkan reputasinya sendiri.

Terdahulu, dalam pernyataan difailkan sebelum ini, Mahathir mendakwa Anwar berucap atas kapasitinya sebagai perdana menteri dan dengan itu, ulasannya memberi kesan buruk terhadapnya berbanding kenyataan sama dibuat rakyat biasa.

Mahathir berkata, dakwaan dibuat menghakis statusnya sebagai negarawan dan sebagai bekas perdana menteri selain bertujuan memburukkan imejnya di khalayak ramai.

Dalam pernyataan itu juga, Anwar berkata Mahathir menjadi mengerakkan budaya politik “authoritarian” ketika berkhidmat sebagai perdana menteri, antara Julai 1981 dan Oktober 2003.

Katanya, pentadbiran Mahathir dicemari pelbagai skandal rasuah dan kewangan, usaha berterusan menyekat kebebasan bersuara, perbezaan politik, dan serangan terhadap kehakiman Malaysia dan kedaulatan undang-undang.

Beliau juga berkata, saman Mahathir merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana difailkan dengan tujuan dan motif tersembunyi.

Anwar berkata, Mahathir memfailkan saman fitnah bagi merendahkan kredibilitinya sebagai perdana menteri dan kerajaan pusat. Ia juga dibuat bagi mewujudkan perpecahan kaum menjelang PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, dan Kedah.

“Kenyataan dipertikai (dibuat pada Kongres Khas Nasional PKR pada 18 Mac) adalah jawapan kepada serangan berterusan, tidak berasas, dan serangan jahat oleh plaintif (Mahathir) terhadap defendan (Anwar) dan kerajaan hari ini,” katanya.

Anwar berkata, kenyataan diucapkan bukan memfitnah atau berupaya membawa maksud apa jua bentuk fitnah.

“Kenyataan (itu) tidak boleh merendah, mencacat atau mengurangkan reputasi (Mahathir) dalam fikiran ahli masyarakat, terutama orang awam negara ini,” katanya.

Anwar juga bergantung kepada justifikasi pembelaan, ulasan adil, kelayakan keistimewaan, dan kebebasan bersuara seperti dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, peguam Rafique Rashid Ali, berkata beliau akan berhubung dengan Mahathir, yang sedang berada di London, bagi mendapatkan arahan selanjutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.