Dewan Rakyat lulus Kertas Putih Kesihatan

Dewan Rakyat lulus Kertas Putih Kesihatan

Kertas Putih Kesihatan yang menggariskan strategi reformasi sistem kesihatan untuk 15 tahun akan datang lulus menerusi undian suara.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dan timbalanya Lukanisman Awang Sauni menunjukkan kertas putih kesihatan yang diluluskan Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat meluluskan usul Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan pemerintah hari ini dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Dokumen yang menggariskan strategi reformasi sistem kesihatan untuk 15 tahun akan datang itu diluluskan menerusi undian suara, selepas perbahasan oleh 28 Ahli Parlimen.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa ketika membentangkan usul itu berkata dokumen itu menggariskan empat tonggak dan 15 strategi bagi mewujudkan sistem kesihatan yang tumpu kepada perkhidmatan bersifat pencegahan dan galakan agar rakyat kekal sihat dan sejahtera.

Tonggak dan strategi yang digariskan itu dirumus berpandukan aspirasi rakyat, iaitu mewujudkan negara sihat; memiliki sistem kesihatan yang saksama, berpaksikan rakyat, serta berdaya tahan; ekosistem kesihatan yang terbuka dan inovatif; dan sistem kesihatan yang dihargai dan dibanggakan.

Ia hasil libat urus kementerian bersama 847 agensi dan 7,729 wakil, antara Mac tahun lalu hingga bulan ini.

Empat tonggak tersebut ialah mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan; mempertingkatkan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit; memastikan pembiayaan yang mampan dan saksama; serta memperkukuhkan landasan dan asas sistem kesihatan serta tadbir urus.

“Jurang kesihatan akan meningkat sekiranya kita tak ambil langkah muktamad untuk segera memulakan usaha reformasi,” kata Zaliha.

Sebelum ini bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Kertas Putih Kesihatan penting untuk reformasi sistem kesihatan jangka panjang, dan berharap ia diteruskan penggantinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.