
Tertuduh, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Siti Noraidi Sulaiman.
Menurut Berita Harian, tertuduh yang juga warden asrama didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dalam sebuah bilik asrama pusat pengajian di Benut, Pontian pada Julai dan November 2022, dan Mac lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadilah Johanuddin menawarkan jaminan RM20,000 serta syarat tambahan, tertuduh dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai, selain perlu melapor diri di balai berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Omar Kutty Abdul Aziz yang mewakili tertuduh selaku peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh yang berpendapatan RM1,800 sebulan menanggung isteri yang sarat mengandung anak pertama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat-syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 23 Julai.