
Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman berkata Annuar sengaja membuat serangan dan mereka cerita sensasi dalam siri ceramah yang dilihat tidak ubah seperti individu kecewa yang masih dahagakan kuasa dan jawatan.
“Annuar sepatutnya menolong untuk menjawab bagi pihak PAS Kelantan isu air bersih yang tiada kesudahan, isu nepotisme lantikan anak beranak dalam jawatan kerajaan negeri serta isu kelemahan mentadbir dalam merancakkan ekonomi dan infrastruktur di dalam negeri,” katanya dalam kenyataan.
Annuar yang dipecat Umno pada Disember lalu diterima sebagai ahli PAS, 10 Jun lalu.
Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) berkata beliau tidak kisah jika tidak dicalonkan pada PRN kerana paling penting mahu melihat kekalahan Umno.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dilaporkan berkata, PAS tiada ada masalah untuk memberi kerusi kepada Annuar, bagaimanapun keputusan itu akan ditentukan PAS Kelantan sebelum dibawa ke peringkat pusat bagi menentukan calon.