Tabib mengaku tak salah buat hantaran jelik

Tabib mengaku tak salah buat hantaran jelik

Warga Singapura, Adam M Isa, 65, didakwa membuat hantaran jelik itu menggunakan saluran YouTube miliknya pada 30 Jun tahun lalu.

Tertuduh, Adam M Isa, 65, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan membuat hantaran jelik di sebuah laman sesawang tahun lalu. (Gambar Pexel)
MELAKA:
Seorang tabib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan membuat hantaran jelik di sebuah laman sesawang penstriman tahun lalu.

Adam M Isa, 65, warganegara Singapura didakwa menggunakan saluran YouTube miliknya, secara sedar membuat hantaran yang jelik sifat dengan menggunakan perkataan Dajal dengan niat menyakitkan hati Muhammad Abdullah, 57, yang melihat video berkenaan di Lorong Bilal, Masjid Tanah pada 6.51 petang, 30 Jun 2022.

Dia dituduh bawah Seksyen 233(1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin mencadangkan jaminan RM20,000 serta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah dan melapor diri kepada polis sebulan sekali.

Peguam Mohd Tajuddin Abdul Razak yang mewakili Adam memohon jaminan dikurangkan kepada RM8,000.

Hakim Darmafikri Abu Adam membenarkan jaminan RM8,000 berserta syarat tambahan dan menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Alor Gajah Arshad Abu berkata pendakwaan dibuat selepas aduan dibuat pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang membaca dan melihat video berdurasi 9 minit 57 saat mengenai seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai tabib.

Hasil siasatan mendapati tabib berkenaan mendakwa Jaim diperguna dan dipengaruhi oleh orang awam untuk mengambil tindakan terhadapnya serta mengatakan Dajal bekerja dengan Jaim dan Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.