PM akan jumpa pegawai daerah bincang isu kemiskinan

PM akan jumpa pegawai daerah bincang isu kemiskinan

Antara perkara akan dibincangkan dalam pertemuan termasuk bagaimana usaha membasmi kemiskinan tegar boleh dilaksanakan pada peringkat daerah.

Kerajaan telah meluluskan RM750 juta dalam Belanjawan 2023 untuk menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah di seluruh negara pada minggu depan, antara lainnya untuk membincangkan usaha menoktahkan masalah kemiskinan tegar di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata, ini usaha kerajaan bagi menangani isu kemiskinan di negara ini, khususnya di luar bandar.

“Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu nanti adalah menoktahkan kemiskinan tegar, bagaimana peringkat daerah boleh melaksanakannya,” katanya semasa sesi soal jawab pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) yang bertanyakan tentang program baharu diperkenalkan kerajaan dalam usaha membasmi masalah kemiskinan tegar.

Pada masa yang sama, kata Ahmad, kerajaan telah meluluskan RM750 juta dalam Belanjawan 2023 untuk menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini, dengan peruntukan disalurkan kepada Kementerian Ekonomi bagi melaksanakan tiga program baharu, termasuk pemberian pekerjaan kepada golongan tertentu.

Beliau berkata, kerajaan juga turut memberikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM2,500 untuk membantu golongan miskin dengan pendapatan RM2,500 ke bawah yang mempunyai lima orang anak.

Katanya, tambahan RM1,500 turut disalurkan jika mereka juga termasuk dalam kumpulan eKasih, seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

Kerajaan juga menyediakan latihan, termasuk dalam bidang perniagaan, agar golongan tersebut tidak terlalu bergantung kepada bantuan kewangan, katanya.

“Kalau mereka berpaut dengan bantuan yang ada, sampai bila mereka boleh keluar daripada kemiskinan tegar? Mereka perlu dilatih menjadi usahawan kecil,” katanya.

Ahmad berkata, kerajaan menyediakan RM900 juta untuk melatih penjaja dan peniaga kecil melalui Bank Simpanan Nasional (BSN), dan RM330 juta oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

Dilaporkan bahawa bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar berdaftar berkurangan daripada 124,744 kepada 118,217 orang bagi tempoh 15 Dis 2022 hingga 15 Mei lepas.

Sementara itu, menurut data eKasih, KIR miskin berdaftar pula berkurang daripada 304,911 kepada 299,080 orang dalam tempoh yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.