Pelajar dirawat di ICU akibat kelesuan haba

Pelajar dirawat di ICU akibat kelesuan haba

Pelajar berusia 15 tahun itu dilaporkan tidak sedarkan diri semasa melakukan aktiviti larian di sekolah.

Pengarah Kesihatan Pahang Dr Nor Azimi Yunus berkata Pesakit diberi rawatan hidrasi dan rawatan sokongan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (Gambar Facebook HTAA ).
KUANTAN:
Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di Pekan, mengalami kelesuan haba selepas tidak sedarkan diri semasa melakukan aktiviti larian sejauh empat kilometer hari ini.

Pengarah Kesihatan Pahang Dr Nor Azimi Yunus berkata pelajar itu dirujuk oleh Hospital Pekan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kini dilaporkan semakin stabil.

“Pemeriksaan awal di Hospital Pekan mendapati pesakit mengalami simptom seperti suhu badan terlampau tinggi iaitu melebihi 39 darjah Celsius, degupan jantung meningkat serta percakapan dan fungsi otak terjejas.

“Pesakit diberi rawatan hidrasi dan rawatan sokongan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAA,” katanya dalam satu kenyataan.

Nor Azimi mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dan mengehadkan aktiviti luar semasa cuaca panas, menggunakan pelindung diri dan sentiasa mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal atur suhu badan.

Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa mengawasi gejala keletihan dan strok haba serta segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat jika mengalami gejala berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.