
Panel diketuai Hakim Ravinthran Paramaguru menolak rayuan Ridzuan Abd Rahman semalam, menyatakan beliau “gagal membuktikan dengan kebarangkalian yang seimbang kewujudan lubang pada masa kemalangan”.
“Kami tidak berhasrat untuk campur tangan dengan penemuan fakta ini dengan alasan sama yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi,” kata Ravinthran, dalam memberikan keputusan sebulat suara mahkamah.
Hakim lain yang mendengar rayuan Ridzuan adalah Hashim Hamzah dan Azimah Omar.
Mahkamah itu mengarahkannya membayar RM5,000 sebagai kos kepada PLUS.
Ridzuan mengemukakan saman itu di Mahkamah Sesyen Selayang pada Ogos 2019, yang menuntut RM666,699.73 sebagai ganti rugi atas kecederaannya.
Beliau mendakwa PLUS bersikap cuai dalam penyelenggaraan lebuh raya dan ini menyebabkannya jatuh.
Saman itu sebelum ini ditolak Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.
Ridzuan diwakili peguam Harjinder Singh, Saufi Samsudin, dan Nur Liyana Zapawi manakala Siva Shanker Soorianarayanan mewakili PLUS.
Siva kemudian memberitahu FMT semasa perbicaraan, mahkamah mendengar keterangan daripada petugas PLUS yang sedang menjalankan rondaan di lebuh raya pada 5 Dis 2015.
“Mereka mengatakan tidak ada lubang pada masa tersebut, dan mereka bertanya kepada plaintif (Ridzuan) bagaimana beliau mengalami kecederaan.
“Plaintif memberitahu mereka pada waktu itu bahawa dia terlanggar pembahagi jalan di susur keluar lebuh raya,” katanya.