KPM buat kajian atasi masalah calon SPM tak hadir

KPM buat kajian atasi masalah calon SPM tak hadir

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata langkah itu bagi mencari jalan penyelesaian pada masa depan.

Seramai 14,858 calon SPM 2022 tidak menduduki peperiksaan itu. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Kementerian Pendidikan sedang menjalankan kajian penuh untuk mencari penyelesaian masalah ketidakhadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa depan, kata menterinya Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata permasalahan itu sebenarnya telah lama berlaku dan dibangkitkan untuk mengingatkan calon pada masa depan supaya hadir menduduki peperiksaan penting berkenaan.

“Apa yang kita buat sekarang ini ialah proses kajian penuh untuk kita kongsikan selepas ini dan ambil tindakan intervensi.

“Bagaimana kita hendak memastikan bahawa kehadiran ini pada masa akan datang dapat diatasi,” katanya selepas menutup Konvensyen Islam dan Melayu peringkat Selangor.

Isu ketidakhadiran calon SPM 2022 diperkatakan apabila seramai 14,858 atau 3.8% daripada 388,832 murid tidak menduduki peperiksaan berkenaan.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas seorang bekas menteri pendidikan yang didakwanya gagal sehingga menyebabkan ramai calon tidak hadir menduduki SPM.

Beliau tidak menamakan menteri terbabit secara khusus, namun Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin dari Perikatan Nasional (PN) adalah menteri pendidikan dari 2020 hingga November 2022.

Radzi ketika menjawab kritikan itu berkata perkara terbabit sebenarnya berlaku di bawah Fadhlina kerana SPM 2022 diadakan dari 20 Feb hingga 15 Mac lalu.

Sementara itu, Fadhlina berkata “faktor gembira” iaitu ingin berehat dan telah mempunyai kedudukan ekonomi kukuh menjadi antara punca guru Bahasa Melayu dan Inggeris memilih bersara awal.

“Ada juga faktor lain salah-satunya penguasaan teknologi,” katanya mengulas laporan ramai guru bagi dua mata pelajaran terbabit memilih bersara awal sejak dua tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.