
Pembangunan fasiliti baharu bersebelahan kilang sedia ada di Kuala Lumpur dijangka bermula akhir tahun ini, dengan pengeluaran akan bermula seawal 2025.
Pengembangan perniagaan Texas Instruments di Kuala Lumpur dianggarkan membawa masuk pelaburan berpotensi bernilai RM9.6 bilion dan mewujudkan tambahan kira-kira 1,300 pekerjaan.
Pembangunan kilang pemasangan dan pengujian baharu enam tingkat bersebelahan fasiliti sedia ada di Melaka berpotensi membawa pelaburan sebanyak RM5 bilion dan akan mewujudkan sehingga 500 pekerjaan. Fasiliti baharu itu juga dijangka memulakan pengeluaran pada 2025.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan digalakkan oleh keyakinan berterusan Texas Instruments terhadap ekosistem pelaburan negara.
“Rancangan Texas Instruments untuk mengembangkan operasi pemasangan dan pengujiannya mencerminkan kedudukan Malaysia yang jelas dalam rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya dalam kenyataan.
“… (Juga) melengkapkan dasar pelaburan baharu kita dan tumpuan pelan induk industri baharu untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi, bernilai tinggi untuk menyokong ekonomi domestik dan global yang semakin digital.”
Tengku Zafrul berkata, pengembangan perniagaan Texas Instruments itu bukan sahaja akan memperkukuh rantaian nilai domestik, malah akan mewujudkan peluang pekerjaan “berasaskan pengetahuan” dan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia.
Naib presiden operasi pembuatan pengujian dan pemasangan Texas Instruments, Yogannaidu Sivanchalam berkata, pengembangan itu sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat itu untuk mengembangkan kapasiti pembuatan dalamannya bagi menyokong peningkatan keperluan bagi semikonduktor serta untuk memberikan jaminan bekalan yang lebih kukuh.
“Texas Instruments berbangga kerana telah beroperasi di Malaysia selama lebih 50 tahun, dan keputusan kami untuk mengembangkan pembuatan ‘back-end’ adalah cerminan pasukan berbakat dan berkembang di Malaysia yang penting bagi masa depan syarikat,” katanya.