
Felo Akademi Nusantara, Azmi Hassan, berkata pemimpin Umno seperti Timbalan Presiden Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh cuba menunjukkan Umno lebih hebat daripada DAP.
Langkah itu adalah satu cara untuk meyakinkan penyokong bahawa oleh sebab Umno lebih hebat, selamat bagi mereka untuk mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada PRN akan datang di enam negeri.
Bagaimanapun, menurut Azmi, tindakan menuntut DAP memohon maaf “tidak akan membawa banyak perbezaan”. Sebaliknya, Umno sepatutnya menunjukkan bahawa ia mempunyai suara yang lebih kuat dalam kerajaan berbanding DAP.
Katanya, DAP mungkin tidak membalas dengan turut menuntut Umno memohon maaf atas tuduhannya.
“Ahli DAP sangat faham mengapa mereka perlu sokong calon Umno pada PRN dari segi kestabilan kerajaan perpaduan, kerana alternatifnya ialah Perikatan Nasional,” kata Azmi kepada FMT.
“Jadi DAP takkan minta Umno mohon maaf, dan DAP tidak akan minta maaf kepada Umno, kerana perkara itu tidak akan membawa nilai tambah, baik untuk DAP mahupun Umno.”
Seorang lagi penganalisis, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, isu ini mengalihkan perhatian pemimpin Umno daripada persiapan PRN dan ancaman oleh PN.
“Jika pada peringkat ini mereka masih kisah tentang permohonan maaf (daripada DAP), mereka berangan dan gagal melihat kepada musuh bersama yang lebih besar, iaitu PAS,” katanya.
PAS dan Bersatu ialah parti dominan dalam PN.
Oh berkata, lebih cepat Umno menghentikan “tingkah laku kebudak-budakan dan merosakkan diri ini” untuk memberi tumpuan kepada PRN, semakin tinggi peluang mereka untuk menang.
Beliau berkata, DAP mungkin tidak akan memohon maaf semata-mata untuk memenangi hati pengundi Melayu, kerana parti itu tidak memerlukan banyak undi Melayu untuk memenangi kerusinya.
“Mereka dapat sokongan padu daripada pengundi bukan Melayu di kerusi majoriti bukan Melayu mereka. Malah, mereka akan kehilangan sokongan sedemikian jika mereka meminta maaf kepada Umno,” katanya.
Pada Khamis, Akmal menuntut permohonan maaf terbuka daripada DAP atas tuduhan yang dibuat terhadap Umno pada masa lalu, ketika kedua-dua parti itu bermusuh. Akmal berkata, tindakan itu perlu sekiranya DAP mahu memenangi sokongan pengundi Melayu dan penyokong Umno pada PRN akan datang.
Presiden Umno Zahid Hamidi kemudian berkata, isu itu tidak perlu dipanjangkan.
Bagaimanapun, timbalan Zahid, Mohamad memuji cadangan Akmal dengan berkata, parti dalam kerajaan perpaduan perlu berhati mulia.
Selepas menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menggesa Pemuda Umno melupakan masa lalu yang perit. Sudah tiba masanya untuk terus melangkah ke hadapan, katanya.
Akmal kemudian berkata, Pemuda Umno akan menyokong usaha kempen parti dalam kerajaan, sama ada DAP memohon maaf atau tidak.