Peruntukan air: Permintaan Kelantan melebihi keperluan, kata menteri

Peruntukan air: Permintaan Kelantan melebihi keperluan, kata menteri

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Kelantan hanya perlu kira-kira 500 JLH berbanding permintaan 2,000 JLH.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata peruntukan RM8 bilion bagi dari Kelantan memenuhi permintaan kapasiti berkali-kali ganda dari keperluan sepatutnya.
PELABUHAN KLANG:
Permintaan kerajaan negeri Kelantan untuk pembangunan fasiliti bagi meningkatkan pengeluaran air bersih sehingga 2,000 Juta Liter Sehari (JLH) adalah melebihi keperluan semasa kira-kira 500 JLH.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata susulan itu kerajaan negeri itu telah memohon peruntukan sebanyak RM8 bilion bagi memenuhi permintaan kapasiti yang berkali-kali ganda dari keperluan negeri yang sepatutnya.

“Sebab itu kita hendak tengok balik, apa yang diperlukan. Pada masa sama, apa yang perlu seiring dengan pembinaan loji rawatan air adalah mengatasi masalah air bersih tidak terhasil (NRW).

“Sebab masalah NRW, jika kita bina loji rawatan air tetapi banyak yang bocor maka air tak akan sampai kepada pengguna,” katanya kepada media ketika diminta mengulas mengenai permintaan Kelantan yang mahukan peruntukan sebanyak RM8 bilion bagi pembinaan lima loji rawatan dan penyimpanan air.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Taklimat Kerjasama Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Jaringan Malaysia dan Brunei, di Magrove Point.

Pada masa yang sama, Nik Nazmi, berkata pihaknya tetap komited untuk mencari solusi terbaik termasuk projek utama yang perlu dilaksanakan bagi menyelesaikan secara tuntas masalah air di Sabah dan Kelantan.

“Kedua-dua kerajaan negeri telah memaklumkan permintaan mereka dan apa yang diperlukan. Kerajaan persekutuan pula ada kerangka perundangan yang perlu diikuti sama ada di peringkat persekutuan iaitu bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan di peringkat Sabah di bawah kerajaan negeri Sabah.

“Tetapi Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) tekankan, kita ada tanggungjawab sebagai kerajaan pusat untuk membantu Sabah juga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.