
Menteri Zaliha Mustafa berkata kajian itu akan menyemak keperluan sebenar pelbagai kategori sumber manusia, dan akan mengambil kira impak polisi baharu yang diperkenalkan pada 2016 dan keperluan kesihatan rakyat.
Katanya, kajian itu “akan menjadi ‘evidence-base (himpunan bukti) ke arah penyediaan pelan implementasi bagi strategi-strategi di dalam Kertas Putih Kesihatan.
“Pelan jangka panjang ini untuk memastikan penduduk mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.
Kajian ini menyusuli keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam menghentikan tajaan dalam bidang perubatan, pergigian, dan farmasi, berdasarkan suatu kajian KKM yang menunjukkan unjuran bekalan pegawai perubatan akan mengalami ‘kebanjiran’ mulai 2026 hingga 2030.
Bagaimanapun, Zaliha menjelaskan bahawa kajian itu berdasarkan data dari 2008 hingga 2015, “dan kurang menggambarkan situasi semasa”.
“Unjuran tenaga kerja kesihatan boleh ditambahbaik dengan mengambil kira perubahan dasar kerajaan yang berlaku selepas 2015, keperluan kesihatan pasca Covid-19, perubahan beban penyakit, perkembangan teknologi perubatan dan keperluan perkhidmatan mengikut bidang kepakaran di sektor awam dan swasta,” katanya.
Tegasnya, perancangan tenaga kerja kesihatan secara efektif harus mengambil kira keperluan kesihatan akibat pertambahan penduduk, penuaan masyarakat, peningkatan beban penyakit, dan juga kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana kesihatan.
“Sekiranya berlaku kekurangan tenaga kerja kesihatan, ia berpotensi menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan serta menimbulkan beban kerja berlebihan kepada pekerja kesihatan yang sedia ada.
“Oleh itu, KKM memberi penekanan terhadap perancangan sumber manusia yang holistik dan strategik bagi memastikan bekalan pekerja kesihatan adalah mencukupi,” katanya.
Zaliha pada Jun berkata KKM masih berbincang dengan JPA berhubung keputusan menghentikan tajaan.