Kertas putih kesihatan butirkan reformasi untuk 15 tahun

Kertas putih kesihatan butirkan reformasi untuk 15 tahun

Antaranya termasuk semakan struktur fi di fasiliti kesihatan awam, serta penyediaan insentif bagi gaya hidup sihat.

Antara pembaharuan dinyatakan termasuk penubuhan pusat kawalan penyakit negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kertas putih kesihatan mengandungi pelan komprehensif ke arah reformasi sektor penjagaan kesihatan dalam beberapa fasa untuk tempoh 15 tahun akan datang.

Dokumen sepanjang 57 muka surat yang disiarkan di laman web Parlimen itu mengetengahkan empat strategi reformasi penjagaan kesihatan:

  • Mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan;
  • Mempertingkatkan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit;
  • Memastikan pembiayaan kesihatan yang mampan dan saksama; dan
  • Memperkukuhkan landasan dan tadbir urus sistem kesihatan

Reformasi di bawah empat tonggak ini termasuk mewujudkan pusat kawalan penyakit negara, semakan struktur fi di fasiliti kesihatan awam, serta menyediakan insentif untuk membudayakan tingkah laku dan norma yang sihat.

Reformasi ini akan dilaksanakan dalam beberapa fasa, dengan inisiatif jangka pendek mengambil masa satu hingga lima tahun; jangka sederhana (enam hingga 10 tahun); dan jangka panjang (11 hingga 15 tahun).

Ia turut menangani pelbagai isu dihadapi sistem penjagaan kesihatan termasuk kekangan kewangan, kekurangan tenaga kerja, masalah fasiliti dan peralatan, masyarakat menua, peningkatan penyakit tidak berjangkit dan kronik, kesihatan mental, selain perbezaan bagi fi hospital dan klinik di seluruh negara.

Kertas putih itu turut menyatakan reformasi penjagaan kesihatan dicadangkan bersifat jangka panjang dan perlu dikemas kini serta disesuaikan mengikut maklumat dan teknologi baharu, selain kaedah atau model yang lebih baik.

“Sehubungan itu, strategi yang dicadangkan dalam kertas putih ini boleh ditambah baik semasa tempoh reformasi, atas saranan kerajaan, badan pemantauan reformasi atau Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen selepas perbahasan dan perbincangan di Parlimen,” menurut dokumen itu.

Kertas putih itu dijangka melalui bacaan pertama di Dewan Rakyat, esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.