
Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, keputusan kerajaan Selangor itu seakan-akan tidak menghargai langsung segala sumbangan kakitangan kontrak yang telah bertungkus lumus selama ini.
“Agak malang bagi penjawat awam di Selangor ini apabila telah berkhidmat lebih daripada 15 tahun tetapi hanya layak diberi jawatan secara kontrak sahaja. Tiada langsung penghargaan yang layak diterima.
“Lebih mengecewakan kerajaan Selangor turut memanjangkan pembatalan tersebut kepada semua pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri berkuat kuasa serta merta,” katanya dalam satu kenyataan.
Adnan berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini memutuskan bahawa pegawai lantikan secara kontrak perkhidmatan yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun boleh dilantik secara tetap mulai 1 Julai 2016 tertakluk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Perkara itu disambut baik oleh kementerian dan kerajaan negeri termasuk Selangor yang melalui majlis mesyuarat kerajaan negeri bertarikh 20 Julai 2016 bersetuju untuk mengguna pakai surat edaran JPA berhubung panduan pengambilan pegawai lantikan kontrak untuk tujuan pelantikan tetap.
“Cuepacs berharap menteri besar Selangor dapat mempertimbangkan semula keputusan ini kerana ia memberi gambaran bahawa kerajaan negeri tidak cakna dengan kebajikan penjawat awam,” katanya.
Sementara itu, Adnan juga menggesa kerajaan untuk menyerap pekerja MySTEP (Malaysia Short-Term Employment Programme) ke jawatan kontrak perkhidmatan berbanding terus menawarkan pekerja terbabit dengan skim sama secara berulang-ulang melebihi setahun.
“Pengambilan pekerja MySTEP dibuka bagi menyediakan peluang pekerjaan jangka pendek sahaja dan jika ia ditawarkan untuk tempoh lebih daripada setahun maka tugas tersebut perlu diisi dengan kakitangan dalam kalangan Contract of Service.
“Situasi ini menggambarkan kelemahan ketua jabatan dalam menilai keperluan perjawatan di jabatan masing-masing selain mengambil kesempatan ke atas pekerja MySTEP kerana mereka dibayar dengan gaji tanpa sebarang elaun tambahan dan tidak boleh membuat sebarang tuntutan walaupun dikerah sama seperti pekerja kontrak perkhidmatan”, katanya.