
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata Razaleigh tidak patut “pukul rata” sekiranya beliau sendiri enggan menamakan individu-individu yang dianggap ‘gunting dalam lipatan’.
“Siapa mereka yang dikatakan musuh? Namakan mereka baru adil. Kamu buat kenyataan secara umum tanpa menamakan sesiapa, elok ke?” katanya kepada FMT, mengulas amaran Tengku Razaleigh kepada parti baru-baru ini.
Razaleigh baru-baru ini berkata Umno mengundang padah sekiranya menerima kembali ‘gunting dalam lipatan’ semata-mata kerana PRN akan diadakan tidak lama lagi.
Pengasas Petronas itu khuatir Umno akan hancur sekiranya tidak tegas menguatkuasakan disiplin, di sebalik desakan kepada kepimpinan parti supaya menerima kembali bekas ahli atau menarik balik hukuman.
Tajuddin berkata Razaleigh patut memberikan nasihat yang betul kepada pimpinan parti, jika ingin mengukuhkan Umno.
“Kalau dia bagi nasihat yang betul, takkan Umno ada masalah macam ini. Adakah dia bagi nasihat yang betul atau nama sahaja ‘penasihat’?”
Sebelum ini, Tajuddin yang digantung keahlian enam tahun meminta pimpinan Umno membuat keputusan segera mengenai rayuannya. Beliau mendedahkan dia telah merayu tiga kali dengan yang terkini pada Mac, namun sehingga kini belum ada jawaban daripada parti.
Beliau digantung keahlian pada Oktober menyusuli kritikan lantang terhadap kepimpinan Zahid.
Presiden Umno Zahid Hamidi ketika menggulung perhimpunan agung Umno 2023 minggu lalu berkata Umno sudi menerima kembali bekas ahli dan mereka yang digantung keahlian, berdasarkan kelakuan mereka selepas dihukum.
Selain Tajuddin, ahli lain yang digantung keahlian adalah bekas naib presiden Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan Shahril Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol Salim Sharif, dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang.
Umno turut memecat bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas ketua Umno Selangor Noh Omar atas pelanggaran disiplin mengikut perlembagaan parti kerana kesalahan ketika PRU15.