Syed Saddiq bidas ‘skrip sama’ jawab isu LCS

Syed Saddiq bidas ‘skrip sama’ jawab isu LCS

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Pakatan Harapan sebelum PRU15 tidak terima alasan yang diberi pentadbiran lepas.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata perlu ada pemantauan rapi dalam projek kontroversi itu, tambahnya itulah tujuan Parlimen.
PETALING JAYA:
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa Kementerian Pertahanan menggunakan “skrip sama” seperti pentadbiran lepas untuk mempertahankan peningkatan kos sebanyak RM2.2 bilion bagi projek kapal tempur pesisir (LCS).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari pada Khamis menjelaskan antara punca kos projek naik daripada kos asal RM9 bilion kepada RM11.2 bilion kerana tambahan masa 83 bulan untuk menyiapkan kapal itu dan perubahan spesifikasi.

Syed Saddiq berkata pentadbiran lepas pasti dicemuh sekiranya memberi penjelasan sama kepada Parlimen.

“Ini skrip sama yang menteri pertahanan terdahulu akan cakap. Kita tidak terima (alasan ini) ketika itu, tetapi mengapa kita perlu terima sekarang?” katanya pada sidang media di Parlimen.

Syed Saddiq berkata perlu ada pemantauan rapi dalam projek kontroversi itu, tambahnya itulah tujuan Parlimen.

“Kamu tidak boleh hanya naikkan (kos) RM2.2 bilion, umum, dan mengurangkan jumlah kapal daripada enam kepada lima, (kemudian) jawab selama satu minit di Parlimen, dan harap semua orang akan terima. Ini tidak betul.

“Perbahasan (di Dewan Rakyat) komunikasi dua hala di mana kita boleh mencari kebenaran mengenai isu itu. Jangan lupa sebelum pilihan raya lalu (PRU15) mereka (Pakatan Harapan) juga tidak menerima alasan ini,” katanya.

Syed Saddiq juga menjawab teguran Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berhubung respon beliau selepas usul membahaskan projek LCS ditolak.

Bekas menteri belia dan sukan itu mengingatkan projek itu membabitkan RM11.2 bilion dana awam dan beberapa kali ditangguhkan.

“Sehingga kini tiada sebarang tangkapan (berhubung projek itu) seperti yang dijanjikan sebelum PRU15, dan sehingga hari ini kita belum terima satu kapal pun,” katanya. “Saya fikir semua tahu dan bersetuju kenapa isu ini penting.

Johari pada Khamis menegur Syed Saddiq kerana “menyindir” apabila mendakwa usul membahaskan projek LCS ditolak speaker kerana “sama ada ia bukan perkara mendesak atau bukan kepentingan awam”.

Johari berkata Ahli Parlimen Muar itu berlaku tidak adil terhadap dirinya kerana beliau sudah menerangkan kepada Syed Saddiq bahawa usul itu tidak menepati syarat peraturan mesyuarat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.