RUU GEG sekali lagi dirujuk jawatankuasa pilihan khas

RUU GEG sekali lagi dirujuk jawatankuasa pilihan khas

Menteri kesihatan berkata ahli jawatankuasa itu, Ahli Parlimen, badan profesional dan NGO baru-baru ini menuntut beberapa perkara bawah RUU tersebut dikaji semula.

Undang-undang yang dicadangkan bertujuan untuk mengharamkan penggunaan, pembelian dan penjualan rokok dan produk vape kepada mereka yang dilahirkan selepas 2007. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, atau dikenali sebagai Rang Undang-Undang Generasi Penamat (GEG), sekali lagi dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Kesihatan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata anggota PSC, Ahli Parlimen, badan profesional dan NGO telah menuntut beberapa perkara di bawah rang undang-undang itu dikaji semula semasa sesi libat urus minggu lepas.

“Oleh kerana RUU ini adalah penting, sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua pihak,” kata Zaliha ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat.

“Oleh itu KKM cadangkan RUU ini dirujuk kepada PSC Kesihatan bagi penelitian lanjut di mana jawatankuasa ini berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang yang akan mengambil kita pandangan daripada semua pihak.”

“Ini adalah kali kedua rang undang-undang itu dirujuk kepada PSC, selepas pertama kali dibentangkan oleh menteri kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin tahun lepas.

Undang-undang yang dicadangkan bertujuan untuk mengharamkan penggunaan, pembelian dan penjualan rokok dan produk vape kepada mereka yang dilahirkan selepas 2007.

Zaliha mengulangi bahawa kementerian komited untuk memastikan rang undang-undang GEG akan diluluskan oleh Parlimen untuk manfaat generasi akan datang.

Bulan lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Putrajaya supaya tidak menangguhkan pembentangan rang undang-undang itu, memetik spekulasi bahawa ia akan dirujuk semula kepada PSC untuk pemeriksaan lanjut.

Pada bulan Mac, Putrajaya memutuskan untuk mengecualikan nikotin cecair atau gel di bawah Akta Racun 1952, satu tindakan yang turut mendapat tindak balas daripada doktor, ahli farmasi dan kumpulan pengguna.

Persatuan Ahli Farmasi Malaysia berkata ini akan membawa kepada peningkatan dalam penggunaan e-rokok dan vape, manakala Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bimbang tiada kawalan untuk melarang penjualan vape yang mengandungi nikotin kepada golongan bawah umur.

Sementara itu, Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal yang dijadualkan meninggalkan jurang dalam undang-undang berhubung pemasaran dan penjualan produk yang mengandungi nikotin, terutama vape dan e-rokok.

Ketua Pegawai Eksekutif Galen Azrul Khalib menegaskan pentingnya membentangkan rang undang-undang itu dan diluluskan dalam persidangan semasa bagi memastikan kawalan berkaitan diwujudkan bagi mengelakkan pemasaran dan penjualan produk mengandungi nikotin, terutama kepada golongan belia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.