
Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata ketika ini masih terdapat antara lima hingga enam kerusi belum selesai diagihkan dan dijangka dimuktamadkan sebelum pembubaran DUN.
“Kita masih ada masa lagi untuk menyelesaikan keseluruhan pengagihan kerusi dan keputusan akhir akan selesai dalam tempoh terdekat.
“PRN di enam negeri belum ditetapkan dan kita masih mempunyai masa untuk menyelesaikan keseluruhan pengagihan kerusi,” katanya menurut Berita Harian dalam satu majlis di Terengganu.
Enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang akan mengadakan PRN dijangka Ogos depan.
Pada masa sama, Ahmad Samsuri yang juga menteri besar Terengganu mengesahkan hanya satu daripada 32 kerusi DUN di Terengganu belum selesai diagihkan.
“Satu daripada 32 kerusi DUN Terengganu yang belum selesai diagihkan bukannya kerusi DUN Rhu Rendang,” katanya.
Mengulas mengenai calon, Ahmad Samsuri berkata, perbincangan mengenai calon untuk semua kerusi yang akan ditandingi PAS di enam negeri akan diadakan esok.
Adun Rhu Rendang itu juga berkata, tarikh penggal terakhir dan pembubaran DUN negeri ini secara automatik adalah akhir bulan ini.