PH Selangor bincang isu pertindihan 3 kerusi minggu ini

PH Selangor bincang isu pertindihan 3 kerusi minggu ini

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata ia akan dimuktamadkan selewat-lewatnya selepas Aidiladha.

PH Selangor dan BN sebelum ini gagal mencapai persetujuan bagi tiga daripada 56 kerusi DUN di negeri itu.
SHAH ALAM:
Pakatan Harapan (PH) Selangor akan mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan isu pertindihan tiga kerusi menjelang PRN akan datang.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata perkara tersebut akan dimuktamadkan selewat-lewatnya selepas sambutan Aidiladha.

“Ada satu perbincangan dalam minggu ini, perbincangan akhir dan selepas itu kita akan muktamadkan.

“Jadi, saya yakin sebelum atau pun selepas Aidiladha ini kita akan berhadapan dan dah putuskan pembahagian kerusi sepenuhnya kerana 53 kerusi dah selesai dah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Khas Perdana Menteri kepada penjawat awam negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam.

Pengerusi PH Selangor itu berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan kepimpinan pusat berhubung pembahagian kerusi DUN Selangor.

PH Selangor dan BN sebelum ini dilaporkan gagal mencapai persetujuan bagi tiga daripada 56 kerusi DUN negeri itu.

Mengulas lanjut, Amirudin yakin isu pertindihan kerusi antara PH dan BN akan dapat dimuktamadkan selepas pertemuan dan perbincangan dengan kepimpinan pusat itu nanti.

“Tak akan bertindih. Sebenarnya, perbincangan ini jauh lebih baik masa zaman Pakatan Rakyat (PR) dulu. PR dulu sampai malam pun masih lagi bertindih.

“Pilihan raya 2013 lepas, calon di Kota Damansara yang juga rakan kongsi kita sudah bertindih. Salahlah tapi okeylah kita rasa kita yakin (akan selesai),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.