Berakhirnya mimpi ngeri kesesakan MRR2 bagi pengguna SUKE

Berakhirnya mimpi ngeri kesesakan MRR2 bagi pengguna SUKE

Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang membantu menyurai kesesakan trafik yang teruk di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2.

Persimpangan SUKE Bukit Antarabangsa yang merentasi MRR2, melegakan pengguna jalan raya daripada kesesakan lalu lintas yang teruk.
KUALA LUMPUR:
Sukar untuk membayangkan bahawa penunggang motosikal juga boleh terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di ibu negara, namun itulah yang dialami juruteknik, Ez Zamri hampir setiap hari.

Lelaki berusia 33 tahun yang tinggal di Taman Bukit Segar, terpaksa melalui kesesakan hingga berjam-jam lamanya setiap kali ketika menggunakan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggannya di Ampang atau Taman Melawati.

Katanya, kombinasi lampu isyarat dan kesesakan teruk mengakibatkan penunggang motosikal sepertinya juga turut terperangkap dan tidak dapat bergerak.

“(Selalunya) tiada ruang untuk mencelah dalam kesesakan itu terutama apabila terdapat ramai penunggang motosikal lain di laluan sama,” kata Ez kepada FMT, sambil menambah bahawa dia hanya boleh berharap hujan tidak turun setiap kali dia terperangkap dalam kesesakan.

Trafik bergerak lancar di sepanjang MRR2 di Pandan Indah selepas pembukaan SUKE.

“Bagaimanapun kini saya bersyukur, perjalanan ke Ampang dan Taman Melawati tidak lagi menjadi masalah sejak Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dibuka.

“Saya akan mengambil masa sejam jika menggunakan MRR2 dengan motosikal saya. Jika perlu membawa lebih banyak peralatan, maka saya perlu menggunakan kereta dan ia akan mengambil masa selama dua jam.

“Namun dengan SUKE, saya hanya mengambil masa 10 minit untuk sampai ke destinasi jika menunggang motosikal. Jika memandu, saya hanya mengambil masa kira-kira 30 minit,” katanya.

Trafik lancar di persimpangan SUKE Taman Hillview, menyediakan perjalanan yang lebih menyenangkan untuk pengguna jalan raya.

Sejak dibuka September lalu, SUKE telah membantu mengurangkan kesesakan trafik di MRR2, yang beroperasi melebihi kapasitinya di Tahap Perkhidmatan F (LoS F).

Lebuh raya yang beroperasi pada tahap LoS F dicirikan oleh pergerakan henti-mula yang tidak menentu dan berterusan dengan kesesakan barisan menunggu yang panjang di beberapa lokasi.

Pengurus pemasaran, Chandran Palanindy, berkata tempoh perjalanan dan masanya di atas jalan raya berkurang dengan drastik sejak SUKE dibuka.

Pembukaan SUKE menamatkan kesesakan trafik yang panjang di Pekan Ampang.

Sebelum ini, Chandran perlu mengambil masa lebih sejam untuk sampai ke pejabatnya di Petaling Jaya dari Sungai Besi.

“Hari ini, saya melalui SUKE untuk ke Petaling Jaya dan masa saya dapat dijimatkan antara 15 hingga 20 minit,” katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Cheras, Emran Shah, berkata dia turut menggunakan SUKE kerana ia mengurangkan masa perjalanannya selama 30 minit.

Katanya, ramai penduduk di kawasan itu menanti-nantikan pembukaan Fasa 2 SUKE tidak lama lagi. Fasa 2 akan mempunyai persimpangan tambahan di Sri Petaling dan Sungai Besi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.