RM10.5 juta yuran peguam bela pesalah kes hukuman mati, kata Azalina

RM10.5 juta yuran peguam bela pesalah kes hukuman mati, kata Azalina

Menteri undang-undang dan reformasi institusi berkata jumlah itu dibayar kepada peguam lantikan mahkamah sejak lima tahun lalu.

Menurut pekeliling ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan, bayaran untuk peguam lantikan mahkamah dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM9,000 berkuat kuasa Disember lalu.
PETALING JAYA:
Kerajaan membelanjakan kira-kira RM10.5 juta dalam tempoh lima tahun lalu untuk khidmat peguam lantikan mahkamah bagi mewakili pesalah termasuk yang menghadapi hukuman mati.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said memberitahu Dewan Rakyat, skim itu yang diuruskan menerusi pejabat ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan, melihat sekitar RM2.5 juta dibelanjakan pada 2018, RM2.9 juta pada 2019, RM1.7 juta pada 2020, RM1.4 juta pada 2021, dan RM2.05 juta tahun lalu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan M Kula Segaran (PH-Ipoh Barat) di Parlimen.

Mengikut skim itu, mahkamah melantik peguam untuk semua tertuduh termasuk warga asing yang menghadapi hukuman mati tetapi tidak mampu melantik peguam sendiri.

Pekeliling oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Hasbi Hasan menyatakan yuran dibayar kepada peguam yang melaksanakan perbicaraan di seluruh negara telah dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM9,000 berkuat kuasa Disember lalu.

Peguam yang mengendalikan rayuan di Mahkamah Rayuan dibayar RM6,000 (kenaikan daripada RM3,000), manakala bagi Mahkamah Persekutuan pula RM7,000 (kenaikan daripada RM3,500).

Untuk layak, seseorang peguam mesti berpengalaman sekurang-kurangnya tujuh tahun, dan mengendalikan minimum lima kes hukuman mati.

Mereka juga mesti disaring jawatankuasa peguam negeri masing-masing sebelum nama dihantar ke pejabat ketua pendaftar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.