3 cabar keputusan menteri kecualikan usul Umno tak pertanding 2 jawatan tertinggi

3 cabar keputusan menteri kecualikan usul Umno tak pertanding 2 jawatan tertinggi

Mereka berkata keputusan itu melanggar hak perlembagaan untuk kesaksamaan dan menafikan orang lain peluang bersaing bagi jawatan tersebut.

Pada 14 Jan, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 meluluskan usul ‘tidak mempertandingkan’ jawatan presiden dan timbalan presiden.
KUALA LUMPUR:
Tiga ahli Barisan Nasional (BN) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang membenarkan dua jawatan tertinggi dalam Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti baru-baru ini.

Satarriah Abdul Karim dan Zaidi Abdul Majid ialah ahli Umno cawangan Kampung Bukit C2 Lembah Pantai manakala P Vellasamy pula ahli MIC cawangan Lembah Pantai.

Mereka berkata, Saifuddin pada Mac lalu mengesahkan memberikan pengecualian untuk tiada pemilihan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti.

Dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 pada 14 Jan lalu, parti itu telah meluluskan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

Satarriah, Zaidi dan Vellasamy mendakwa keputusan Saifuddin bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai kesaksamaan, sambil menambah bahawa ia menafikan peluang ahli lain untuk mencabar penyandang jawatan presiden dan timbalan presiden.

“Pemohon dinafikan hak mereka untuk didengari oleh menteri sebelum membuat keputusan.

“Sehingga hari ini tiada penjelasan munasabah daripada menteri mengenai keputusannya,” kata mereka dalam permohonan itu.

Ketiga-tiga mereka menegaskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) melancarkan siasatan kemungkinan pelanggaran Perlembagaan Umno berhubung usul tidak bertanding untuk dua jawatan teratas.

“Keputusan menteri itu tidak munasabah dan ia bercanggah dengan Perlembagaan Umno,” tambah mereka.

Ketiga-tiga mereka mahu mahkamah membatalkan keputusan Saifuddin yang mengecualikan jawatan itu daripada dipertandingkan.

Selain Saifuddin, mereka juga menamakan Umno dan JPPM dalam cabaran undang-undang tersebut.

Hakim Amarjeet Singh akan mendengar permohonan kebenaran untuk mereka memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan itu Khamis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.