
Pemuda PKR juga menggesa Pakatan Harapan (PH) mengambil kira isu ini apabila memutuskan permohonan Muda untuk menyertainya.
“(Kami) menempelak Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq yang dilihat mengalihkan tiang gol terhadap isu sebenar penolakan usul yang cuba dibawanya kepada Dewan Rakyat oleh Speaker Dewan Rakyat tempoh hari,” kata Pemuda PKR dalam kenyataan.
“Tindakan Syed Saddiq dan Muda secara terus menerus menyebarkan maklumat salah atau kenyataan separa benar yang memburukkan kerajaan secara tidak adil.”
Pada Khamis, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menegur Ahli Parlimen Muar itu kerana membuat andaian apabila mengkritik keputusannya menolak usul membincangkan isu LCS.
Johari berkata, usul itu ditolak kerana ia bukan perkara mendesak, mahupun membabitkan kepentingan awam.
Katanya, Syed Saddiq tidak berlaku adil terhadapnya kerana beliau sudah menerangkan dalam surat jawapan bahawa usul itu ditolak kerana tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.
Menurutnya, beliau telah memaklumkan kepada Syed Saddiq bahawa Kementerian Pertahanan dikehendaki mengemukakan laporan kemajuan projek LCS setiap tiga bulan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sehingga ia siap.