
Menurutnya, dalam pertemuan khas dengan JPA minggu lepas, beliau dimaklumkan bahawa keputusan untuk menghentikan biasiswa itu ialah “dasar lama”.
“Saya telah minta untuk dikaji semula berdasarkan unjuran kita, dan keperluan sektor perubatan, pergigian dan farmasi.
“Jadi maknanya program biasiswa JPA untuk sektor ini akan diteruskan,” katanya menjawab pertanyaan pada sesi dialog awam bersama penuntut Universiti Sains Malaysia hari ini.
Pada sesi itu, seorang pelajar perubatan meminta Anwar menjelaskan keputusan menghentikan pemberian biasiswa itu, yang akan mewujudkan halangan bagi pelajar B40 yang ingin melanjutkan pengajian.
Anwar memberikan jaminan itu susulan kenyataan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa sebelum ini bahawa kementeriannya sedang berbincang dengan JPA berhubung keputusan tersebut.
Beliau berkata, perbincangan sedang diadakan mengenai kemungkinan keputusan itu perlu dikaji semula memandangkan keperluan negara untuk bidang ini telah berubah, terutamanya selepas wabak Covid-19.
Pada Mac, JPA mengumumkan bahawa ia telah memutuskan untuk berhenti menaja pelajar dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi tahun ini.
Terdahulu hari ini, Zaliha berkata, kementerian bersedia menyemak kajian pada 2019 yang mengunjurkan wujudnya lebihan bekalan pegawai perubatan dari 2026 hingga 2030.
Autonomi pelajar dipelihara
Berhubung isu autonomi pelajar, Anwar berkata, penting untuk universiti mempunyai iklim yang lebih bebas bagi pelajar menyuarakan pandangan.
Tambahnya, beliau telah bercakap tentang perkara ini dengan Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin, dan naib canselor universiti-universiti awam.
“(Pelajar) harus diberikan ruang untuk memberikan pandangan, teguran dan kritikan. Baru kita boleh angkat mutu universiti agar lebih cemerlang,” katanya.
Sebagai respons kepada soalan seorang pelajar USM, Anwar bersetuju bahawa sudut pelajar di universiti awam perlu dihidupkan semula agar pelajar-pelajar mempunyai ruang untuk bersuara mengenai isu negara.