PAU 2023 tidak harus jadi medan percanggahan, kata penganalisis

PAU 2023 tidak harus jadi medan percanggahan, kata penganalisis

Percanggahan dalam kalangan ahli Umno akan dijadikan senjata oleh musuh politik menjelang PRN, kata penganalisis politik Sivamurugan Pandian.

Penganalisis berpendapat, Umno perlu ada saluran khas untuk ahli pada setiap peringkat berbincang tentang segala percanggahan dan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan parti, bukan secara terbuka.
KUALA LUMPUR:
Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 tidak seharusnya dijadikan medan untuk ahli, terutamanya pada peringkat kepimpinan, menyatakan percanggahan atau menyuarakan isu yang boleh mencetuskan konflik dalaman.

Merujuk kepada isu menuntut DAP memohon maaf, penganalisis politik Sivamurugan Pandian berkata, Umno perlu bijak menguruskan percanggahan yang wujud dalam kalangan ahlinya. Jika tidak, ia hanya akan membuka ruang bagi musuh politik mencari kelemahan parti, katanya.

“Sekiranya wujud percanggahan seperti ini secara terbuka, ia membuka ruang yang lebih besar kepada musuh politik. (Mereka) tidak perlu melakukan apa-apa kerana (Umno) dikritik dan ‘ditembak’ oleh ahli sendiri,” katanya kepada FMT ketika ditemui pada PAU 2023 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Sabtu.

Terdahulu, isu tuntutan maaf tersebut, yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Saleh dalam ucapan dasarnya, menjadi antara topik hangat pada PAU kali ini.

Timbul percanggahan apabila Presiden Umno Zahid Hamidi menegaskan bahawa isu tersebut tidak perlu lagi ditimbulkan, sementara Timbalan Presiden Mohamad Hasan berkata, tidak salah untuk ketua Pemuda menyuarakan tuntutan itu.

Sementara itu, Sivamurugan berkata, luahan tidak puas hati terhadap kepimpinan juga akan memberikan kesan kepada imej Umno dan boleh menyebabkan terhakisnya sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap parti itu.

“Ini (kritikan dalaman) sudah pasti boleh menyebabkan terhakisnya sokongan kepada Umno kerana setiap pemimpin yang bersuara itu ada penyokongnya, dan setiap penyokong ini juga ada gerak kerja dan juga pengaruh mereka,” katanya.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman, yang hadir tanpa disangka di luar PAU, mendakwa Ahmad Maslan gagal menjalankan tanggungjawab sebagai setiausaha agung parti, dan menjadi punca pengaruh Umno merosot ke tahap paling buruk.

Berhubung situasi itu, Sivamurugan berpendapat, Umno perlu ada saluran khas untuk ahli pada setiap peringkat berbincang tentang segala percanggahan dan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan parti.

Katanya, Umno harus mengambil pengajaran apa yang berlaku pada PRU14 dan PRU15, yang mana kejatuhan parti berpunca daripada ahli parti itu sendiri.

“Umno sepatutnya perlu menyediakan satu platform khas untuk membenarkan mana-mana pihak menyuarakan rasa tidak puas hati, rasa tidak setuju, bukannya dibuat secara terbuka, kerana saya rasa kesannya besar.

“Percanggahan secara terbuka ini perlu dihentikan kerana pada PRU lepas, yang sebenarnya mainkan peranan menjatuhkan Umno adalah ahli Umno sendiri, menerusi undi protes, sabotaj dan sebagainya,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.