PH, BN Selangor bertemu Rabu muktamad baki 3 kerusi PRN

PH, BN Selangor bertemu Rabu muktamad baki 3 kerusi PRN

Terdahulu dilaporkan bahawa DUN Dengkil, Meru dan Kuang dipercayai masih menjadi pertikaian antara kedua-dua gabungan itu di Selangor.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yakin rundingan antara PH dan BN Selangor, berhubung baki 3 lagi kerusi DUN, akan dapat diselesaikan secepat mungkin.
SHAH ALAM:
Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor akan cuba mencapai kata sepakat pada Rabu berhubung baki tiga kerusi DUN akan ditandingi pada PRN akan datang, yang masih belum dimuktamadkan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, rundingan berhubung tiga kerusi itu diyakini dapat diselesaikan secepat mungkin, berdasarkan kesepakatan yang dicapai antara dua gabungan itu berhubung 53 kerusi lain.

“Rabu ini, kita akan adakan perbincangan pada peringkat rasmi (dua-dua gabungan). Kita mula (dengan) 56 kerusi dan kini tinggal tiga kerusi (belum muktamad), maknanya sangat bagus kemajuan (rundingan) dalam tempoh hanya dua bulan.

“Sebab itu saya yakin dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya pada sidang media Program Jelajah Usahawan dan Koperasi Madani 2023 Selangor di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor hari ini.

Terdahulu, FMT melaporkan bahawa kerusi DUN Dengkil, Meru dan Kuang dipercayai masih menjadi pertikaian antara BN dan PH Selangor.

Menurut sumber Umno, parti itu menuntut kerusi Dengkil dan Kuang yang dimenangi Bersatu pada PRU14, namun PKR juga mahukan kerusi sama.

Sementara itu, Meru yang kini disandang wakil PKR juga dituntut oleh Umno kerana parti itu merasakan bahawa kerusi itu boleh dimenanginya, mengambil kira undi pada PRU15, yang memihak kepada BN, dakwa sumber itu.

Ketika ditanya mengenai laporan itu, Amirudin enggan mengulas lanjut.

“Perkara dibincangkan dalam jawatankuasa (rundingan) tak boleh dibawa keluar lagi,” tegasnya.

Mengenai pembubaran DUN, Amirudin yang juga Adun Sungai Tua berkata, tarikh pembubaran DUN Selangor masih belum mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Tak dapat perkenan lagi untuk pembubaran. (Saya fikir) ada beberapa cadangan tetapi kena bertenang juga, sebab kalau ditolak, gagallah.

“Apa-apa pun, 25 Jun ini DUN Selangor akan terbubar secara automatik,” katanya sambil menambah, beliau menjangkakan akan menghadap baginda sebelum 20 Jun ini, iaitu tarikh Sultan Sharafuddin dijangka berangkat ke Mekah bagi menunaikan ibadat haji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.