
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Amiludin Yenggah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 11 pagi sebelum menggerakkan dua buah bot maritim bersama 12 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba, isteri mangsa Norlina Arifin, 45, berjaya diselamatkan penduduk kampung dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan.
Bagaimanapun katanya, mangsa, Abdul Rahman Kasil, 56, masih belum ditemui.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati bot yang dinaiki suami isteri itu terlanggar objek keras terapung lalu pecah dan karam.
“Kita menerima panggilan daripada pengadu yang menyatakan sebuah bot jongkong telah karam di perairan Pulau Sebatik.
“Mengikut maklumat yang diterima, mangsa bergerak dari Tawau mengarah ke Sungai Melayu dan semasa dalam perjalanan dan berhampiran dengan Sungai Melayu, bot tersebut telah melanggar objek terapung dan seterusnya karam di kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui di pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Kampung Titingan Tawau Lama, menurut Astro Awani.
Operasi SAR melibatkan melibatkan 5 buah bot dari pelbagai agensi keselamatan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kekuatan 23 pegawai dan anggota.
Ia turut dibantu pasukan Basarnas Indonesia serta 2 buah bot orang kampung bersama 16 penduduk.
Operasi terbabit ditangguhkan 6 petang dan diteruskan semula pagi ini.