Jangan manipulasi isu tanah rizab polis, kata Bukit Aman

Jangan manipulasi isu tanah rizab polis, kata Bukit Aman

Siasatan mendapati tiada unsur penipuan terhadap status tanah rizab tersebut dan kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

Setiausaha Polis Noorsiah Saaduddin berkata, polis telah selesai membuat siasatan ke atas kes pemilikan tanah rizab berkenaan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Semua pihak diminta supaya tidak memanipulasikan isu pemilikan tanah rizab polis di Kamunting, Perak, sehingga boleh mengelirukan masyarakat.

Setiausaha Polis Noorsiah Saaduddin berkata, polis telah selesai membuat siasatan ke atas kes pemilikan tanah rizab itu yang merupakan berek kelamin dan rumah ketua polis balai di IPD Taiping kepada sebuah organisasi gereja.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati tiada unsur penipuan terhadap status tanah rizab tersebut dan kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Siasatan mengenai status tanah menunjukkan tanah di lot 784 merupakan tanah milik The Titular Roman Catholic Bishop of Melaka sejak 1883.

“Laporan polis yang dibuat oleh IPD Taiping sebelum ini adalah bertujuan bagi mengenal pasti status pemilikan tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lepas, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata Pengarah Pendakwaan Negeri Perak memutuskan kes penukaran hak milik tanah rizab polis di Kamunting, Perak kepada sebuah organisasi gereja di Melaka, diklasifikasikan sebagai NFA susulan laporan polis IPD Taiping berhubung kes tukar milik tanah lot 784 di Kamunting, Taiping, dibuat tanpa pengetahuan.

Pada 30 April lepas, satu portal berita tempatan memetik sumber melaporkan, sebidang tanah rizab polis di Kamunting, ditukar hak milik kepada sebuah organisasi gereja di Melaka tanpa pengetahuan.

Menurut laporan itu, penukaran hakmilik tanah itu terbongkar selepas polis menerima surat daripada sebuah syarikat peguam yang mewakili pihak gereja pada 14 April lepas, yang menuntut hak milik tanah seluas 0.55 hektar di Mukim Kamunting.

Susulan itu, IPD Taiping membuat satu laporan polis pada 20 April untuk menyiasat status milikan tanah berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.