Ingin menang pilihan raya? Terap mentaliti betul sekarang juga, tegas Jo Ghani

Ingin menang pilihan raya? Terap mentaliti betul sekarang juga, tegas Jo Ghani

Naib Presiden Johari Ghani berkata Umno harus bertindak sekarang untuk memenangi pilihan raya akan datang.

Naib Presiden Johari Ghani berkata Umno, jentera, dan calon harus dipersiapkan dalam tempoh empat tahun setengah sebelum pilihan raya.
KUALA LUMPUR:
Umno di semua peringkat harus diterapkan dengan mentaliti yang betul untuk menghadapi pilihan raya, kerana ia akan menentukan keberkesanan persiapan parti itu, tegas Naib Presiden Johari Ghani.

Beliau berkata Umno harus bertindak sekarang untuk memenangi pilihan raya, termasuk dari segi pemilihan calon dan persiapan jentera.

“Mentaliti untuk menang ini sangat penting bukan saja kepada lima pemimpin tertinggi parti, bukan sahaja majlis kerja tertinggi, tetapi kena sampai ke semua cawangan,” katanya, ketika berucap di perhimpunan agung Umno 2023 petang tadi.

Beliau berkata tindakan saat-saat akhir seperti yang berlaku pada pilihan raya terdahulu hanya mengundang risiko.

“Umno ini ‘unik’: Kalau kita nak pilih calon kadang-kadang lagi dua hari pilihan raya baru kita beritahu orang,” katanya, dan menambah masalah akan timbul apabila calon pilihan tidak diterima akar umbi.

Johari berkata pimpinan parti tidak boleh menyalahkan bahagian-bahagian yang tidak berpuas hati apabila calon yang mereka inginkan tidak terpilih, memandangkan mereka bekerja siang dan malam untuk parti.

Sekalipun calon pilihan menepati citarasa akar umbi, jentera harus dipersiapkan dan sebarang masalah diselesaikan dalam tempoh empat setengah tahun sebelum pilihan raya.

“Walaupun ada parti yang bagus, calon yang bagus, tetapi tiada jentera bagus maka tak jadi,” katanya. “Jangan kita susun jentera bila Parlimen bubar. Agak mustahil kita nak buat benda ini.”

Hanya dengan persiapan awal, Umno akan mempunyai masa untuk menilai prestasi calon-calon pilihan di lapangan, dan mengambil tindakan susulan yang perlu.

“Dalam empat setengah tahun ini kita nilai prestasi mereka. Kalau tak menunjukkan prestasi yang baik dalam setahun, kita boleh cari lain,” katanya.

Johari menyeru Umno mengambil pengajaran daripada kekalahan parti pimpinan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Pejuang, pada PRU15 lalu.

Katanya, masyarakat tidak mengenali parti baharu itu, yang tewas kerana tidak memiliki jentera meskipun menampilkan calon seperti Mahathir.

“Umno kena tanam sikap bahawa dalam pertandingan tiada kerusi selamat. Kalau nak selamatkan kerusi itu, kita lah yang menyelamatkannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.